Datuk Bandar Seoul Ditemui Maut Selepas Dakwaan Gangguan Seksual

PASUKAN forensik membawa mayat Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon yang ditemui maut di sebuah gunung di utara Seoul. - Foto AFP

SEOUL: Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon, yang selama ini dilihat berpotensi menjadi calon Presiden Korea Selatan, ditemui maut hari ini, kata pihak polis.

Rabu lalu, bekas kakitangan Bandar Seoul membuat laporan polis dengan dakwaan membabitkan gangguan seksual terhadap Won-soon, 64.

Pihak polis memaklumkan mayat Won-soon ditemui di sebuah gunung di utara Seoul selepas pencarian dilakukan ratusan pegawai.

Wartawan AFP yang berada di lokasi melihat anggota kecemasan membawa mayatnya turun ke bawah awal pagi ini, sebelum dibawa ke hospital.

Pihak polis turut memaklumkan bahawa tiada nota bunuh diri ditemui di lokasi mayat itu ditemui, namun agensi berita Yonhap melaporkan yang Won-soon 'dianggap membunuh diri'.

Jika terbukti membunuh diri, Won-soon akan menjadi individu berprofail paling tinggi berbuat demikian sejak bekas presiden, Roh Moo-hyun, terjun daripada tebing pada 2009, selepas disiasat berhubung dakwaan rasuah membabitkan ahli keluarganya.

Anak perempuan Won-soon membuat laporan kehilangannya tengah hari semalam, apabila bapanya itu tidak dapat dihubungi untuk tempoh beberapa jam, kata pihak polis.

Won-soon meninggalkan mesej yang seolah-olah seperti kata-kata terakhirnya, dan telefon bimbitnya turut dimatikan, lapor anak perempuannya kepada polis.

Won-soon yang juga antara pemimpin kanan dalam parti Demokratik, mentadbir Seoul sejak hampir 10 tahun lalu.

Beliau secara konsisten disebut sebagai calon berpotensi menggantikan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, dan tidak menafikan matlamat politiknya ke arah itu ketika ditanya AFP awal tahun ini.

Won-soon memiliki latar belakang yang sama dengan Jae-in, isitu sebagai aktivis pelajar ketika era pemerintahan diktator oleh tentera, sebelum menjadi peguam hak asasi manusia. - AFP

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu