Harvard, MIT saman pentadbiran Trump kerana batal visa pelajar

Universiti Harvard (Harvard) dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) menyaman pentadbiran Trump kerana membatalkan visa penuntut asing berikutan pandemik COVID-19. - Foto AFP

NEW YORK: Universiti Harvard (Harvard) dan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) memohon mahkamah menghalang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membatalkan visa penuntut warga asing.

Ia berikutan arahan Isnin lalu bahawa penuntut asing tidak akan dibenarkan tinggal di AS jika semua kelas mereka diadakan secara dalam talian pada musim luruh ini, susulan krisis COVID-19.

Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen (ICE) AS, dalam satu kenyataan, memaklumkan, Jabatan Negara AS tidak akan mengeluarkan visa kepada penuntut berkenaan selain mereka turut dihalang memasuki negara itu.

Presiden Harvard, Lawrence Bacow, dalam satu kenyataan, berkata tindakan undang-undang dua universiti terkemuka itu menyusuli pengumuman Isnin lalu yang mengarahkan semua penuntut warga asing pulang ke negara masing-masing.

"Kami akan meneruskan kes ini dengan agresif bagi membolehkan semua penuntut antarabangsa meneruskan pengajian masing-masing tanpa perlu bimbang dihantar pulang," katanya.

Setakat jam 2 petang hari ini, AS kekal sebagai negara paling terjejas di dunia akibat COVID-19 dengan lebih 3.1 juta kes jangkitan termasuk hampir 135,000 kematian.

Trump mendesak semua universiti dan sekolah dibuka sepenuhnya apabila tahun akademik baharu bermula September ini, walaupun AS mencatat rekod kes tertinggi COVID-19.

Universiti yang menggunakan sistem hibrid pula perlu membuktikan penuntut mengambil sebanyak mungkin kelas perseorangan bagi membolehkan status mereka dikekalkan.

Menurut Institut Pendidikan Antarabangsa (IIE), terdapat lebih sejuta penuntut antarabangsa di AS untuk tahun akademik 2018-2019.

Kedua-dua plaintif meminta mahkamah mengeluarkan perintah terbabit bagi menghalang dasar diperkenalkan pentadbiran Trump itu dilaksanakan. - AFP

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu