Keluarga wanita warga Australia hantar sampel DNA

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong (dua dari kanan) melihat lokasi penemuan tulang dan longgokan baju di Jalan Batu Gantung di Pulau Pinang, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD

GEORGETOWN: Pihak keluarga wanita warga Australia, Anna Jenkins, yang dilaporkan hilang pada 2017 di Pulau Pinang, bersedia menghantar sampel DNA kepada polis bagi ujian perbandingan susulan penemuan tulang manusia di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada tulang pinggul manusia yang dijumpai itu mempunyai kaitan dengan Kes Orang Hilang (warganegara asing) pada 2017 di daerah Timur Laut Pulau Pinang.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berurusan dengan kedutaan Australia di Malaysia untuk mendapatkan sampel DNA keluarga wanita itu bagi tujuan mengenal pasti tulang berkenaan.

Katanya, pihak polis menerima maklum balas daripada keluarga wanita itu semalam, yang bersetuju untuk menghantarnya dari Australia.

"Bagi tujuan perbandingan, Jabatan Kimia Pulau Pinang bersetuju melaksanakannya dengan segera sebaik sahaja mendapat sampel itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tempat penemuan tulang, longgokan pakaian serta barangan berkenaan di sini, hari ini.

Tulang-tulang dan semua longgokan pakaian dan barangan itu ditemui seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada kira-kira jam 4 petang, 24 Jun lalu.

Soffian berkata, tulang dan longgokan barang peribadi itu ditemui berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan berada iaitu di Jalan Scotland.

Katanya, tulang-tulang itu ditemui di atas bukit iaitu 15 meter dari barangan peribadi yang ditemui di tanah merah kawasan yang mahu dijadikan kawasan landskap, manakala baju pula kira-kira lima meter dari barangan peribadi.

"Siasatan mendapati, lokasi penemuan tulang dan barangan itu adalah kawasan hutan pada 2017 ketika wanita itu dilaporkan hilang yang kini ia dibangunkan menjadi kawasan perumahan. Kami akan menyiasat bagaimana barang dan tulang berkenaan berada di situ," katanya.

Dalam masa sama, Soffian sekali lagi menegaskan pihak polis tidak pernah menghentikan siasatan kes Anna Jenkins seperti dakwaan media di Australia dan sebarang petunjuk yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan wanita itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk pengurus dan pekerja di tapak projek itu serta memanggil semula pemandu Uber yang membawa wanita itu sebelum kehilangannya, bagi membantu siasatan.

Pada 13 Disember 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lanchang selepas selesai rawatan, sebelum dikatakan hilang begitu sahaja. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu