Sarawak tuntut peruntukan khas yang adil daripada Kerajaan Persekutuan


KUCHING: Sarawak akan terus menuntut peruntukan khas yang adil daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, rundingan mengenai perkara itu belum lagi selesai meskipun Kerajaan Persekutuan telah memberikan RM36 juta sebagai peruntukan khas kepada negeri ini.

“Saya telah mempersoalkan semula untuk mendapatkan angka RM36 juta ini dan formulanya belum jelas dan belum diberitahu,” jelas beliau dalam temu bual dengan Sarawak Voice di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

“Ini kerana saya berpandukan kalau kedudukan kewangan Malaysia baik, maka sudah tentunya ada formula untuk diberi kepada Sarawak,” katanya, sambil menambah, kalau keadaan kewangan tidak baik pula, akan ada formula tertentu.

“Bagi saya, mesti ada formula untuk mendapatkan peruntukan khas yang sepatutnya diberi kepada Sarawak mengikut Artikel 112 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak tidak tamak, sebaliknya menerima jumlah peruntukan yang diberikan berdasarkan perbincangan kedua-dua pihak.

Namun, beliau menegaskan, ia hendaklah berdasarkan formula yang betul dalam menentukan amaun peruntukan berkenaan.

“Ia mungkin RM100 juta kalau keadaan kewangan negara baik, dan jika keadaan kewangan tidak baik, jika kita mendapat jumlah yang kurang, kita juga terima,” jelasnya sambil menegaskan ia bergantung kepada keadaan ekonomi dan kewangan negara. - SarawakVoice

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu