Tanah Runtuh Di China, 14 Dikhuatiri Mati Atau Hilang
BEIJING: Sekurang-kurangnya 14 terbunuh atau hilang sejak semalam berikutan hujan lebat dan tanah runtuh di China, yang mengakibatkan rumah tertimbus selain kawasan riadah ditutup buat sementara waktu.
Selain itu, enam penduduk masih gagal dikesan sejak berlakunya tanah runtuh di wilayah barat daya Guizhou, yang melanda tiga kawasan perkampungan Rabu lalu.
Pihak berkuasa tempatan berkata, sekurang-kurangnya 156 penduduk sudah dipindahkan manakala enam lain yang terperangkap dan terpaksa diselamatkan selepas kejadian itu.
Foto dari tempat kejadian menunjukkan pekerja penyelamat berpakaian seragam oren terang menyapu lumpur dan puing-puing di kawasan pergunungan kota Tongren, di mana kebanyakan bangunan musnah.
Menurut pihak berkuasa 19 rumah tertimbus manakala 60 lain rosak dan rakaman dari udara menunjukkan sebilangan besar kawasan kini dipenuhi lumpur.
Sekurang-kurangnya 120 orang dipercayai maut atau hilang akibat banjir yang melanda sejak 3 Julai lalu, mengakibatkan kerugian ekonomi sekitar 41.6 bilion yuan (RM25 bilion).
Beberapa daerah di China dilanda hujan lebat sejak Jun lalu, yang mana kerosakan menambahkan lagi tekanan terhadap ekonomi domestik yang sudah teruk dilanda wabak COVID-19.
Satu lagi kes tanah runtuh pada awal pagi semalam di wilayah Hubei mengakibatkan lima rumah dan sembilan penduduk kampung tertimbus, mengorbankan lapan mangsa, menurut agensi siaran rasmi CCTV hari ini.
Beberapa kawasan rekreasi terpaksa ditutup buat sementara waktu demi memastikan keselamatan, selain penutupan Gunung Sanqing akibat hujan lebat dan risiko tanah runtuh di daerah itu.
Selain menjejaskan sektor pelancongan, pelajar China yang menduduki peperiksaan kemasukan pengajian tinggi berdepan kesukaran untuk sampai ke pusat peperiksaan akibat banjir yang melanda di beberapa kawasan.
Penyelamat tempatan terpaksa menggunakan trak pengangkut dan bot pelampung bagi membawa pelajar ke tempat ujian di wilayah Hubei, semalam. - AFP
Comments
Post a Comment