'Made In Malaysia' Disyaki Punca Jualan Daihatsu Sirion Merudum Di Indonesia


PERODUA Myvi memang cukup laris di Malaysia. Sebutkan apa saja, praktikal, kompak, tangkas, harga berbaloi dan jimat minyak, semua dimiliki Myvi. Model itu cukup untuk  menggambarkan cita rasa majoriti pembeli kereta di Malaysia.

Namun berbeza pula situasi di negara jiran Indonesia. Daihatsu Sirion, yang di-rebadge daripada Myvi Malaysia, hanya mampu dijual 1,249 unit sepanjang 8 bulan antara Februari dan November 2018. Langsung kalah dengan pesaing subkompak hatchback lain seperti Suzuki Ignis, Honda Brio dan Datsun.

Sekarang, timbul persoalan, kenapa jualan model itu sendu di Indonesia?

Ini kerana, spesifikasi Sirion tidak jauh berbeza dengan pesaing jenama lain, termasuk juga harga. Varian manual misalnya, dijual Rp182.5 juta (RM52,882), manakala automatik, dijual Rp195 juta (RM56,504). Mengikut pasaran Indonesia, harga itu tidak mahal buat pembeli kereta pertama di sana. Sebelum terlupa, Myvi manual metalik di Malaysia berharga RM42,790 (siapa cakap kereta Indonesia semuanya murah? :P).

Dari segi teknikal pula, Sirion didatangkan dengan enjin 1.3L (tiada varian 1.5L di Indonesia) yang memang terkenal jimat minyak, dan berprestasi berbanding pesaing berenjin 1.2L. Tetapi kenapa jualan masih muram?

Walaupun Pengarah Pemasaran Astra Daihatsu Motor (ADM), Amelia Tjandra mendakwa Daihatsu tidak terlalu fokus tentang jualan Sirion dengan cuma meletakkan sasaran 200 unit sebulan dan sepatutnya meraih jualan lebih kurang 2,000 unit sepanjang tempoh 10 bulan itu. Namun, angka diperoleh jauh merosot.

Namun faktanya, trend kemerosotan Sirion (Myvi generasi 2) sudah dapat dikesan sejak 2017, cuma terjual 1,790 unit, merosot daripada angka 2,950 unit (2016).

PEMBELI INDONESIA TIDAK SUKA PRODUK MALAYSIA?

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Institut Penyelidikan Mengenai Indonesia, ALVARA, Hasanuddin Ali mengakui memang ada sentimen negatif di kalangan pembeli Indonesia terhadap produk Malaysia. Menurutnya, rata-rata pengguna Indonesia ialah golongan kelas menengah yang terdedah kepada isu semasa dan konflik Indonesia-Malaysia, sekali gus menjejaskan produk dari Malaysia.

“Kitakan ramai pengguna kelas menengah. Mereka ialah pengguna terpelajar dan anak-anak muda yang enggan membeli produk Malaysia, sebab itu ia tidak begitu laris di pasaran,” jelasnya.

Bagaimanapun menurut Hasanuddin, sentimen itu cuma terhad kepada produk tertentu seperti kenderaan, dan tidak untuk produk seperti AirAsia, CIMB Niaga atau Centro.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kemerosotan jualan Sirion disebabkan beza harga besar dengan model Daihatsu lain dalam kategori LCGC (kereta hijau kos rendah) seperti Ayla dan Sigra. Jadi denan harga hampir Rp200 juta (RM57,953), mungkin pembeli berpendapat lebih balik pilih hatchback jenama lain yang lebih gah seperti Toyota Yaris atau Honda Jazz.

Bukankah sentimen itu sama juga seperti Malaysia? Lebih baik beli Honda City (sekadar contoh) standard daripada Proton Preve yang premium. Imej mewah dan classy itu lebih terserlah kepada jenama import. Kalau di Indonesia, Toyota dan Honda ialah jenama lebih premium berbanding Daihatsu.

Jika tidak mahu melabur banyak, pembeli Indonesia ada pilihan untuk memilih model lain setaraf, iaitu Honda Brio. Walaupun Sirion mungkin lebih berspesifikasi, tetapi Brio membawa nama Honda yang lebih premium. Jadi, semua itu menjadi dilema dan masalah yang perlu ditangani ADM, dan memang ada ura-ura, model Sirion akan dihentikan pengeluaran di negara seberang itu. - PanduLaju

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu