3 Laras AK47 Ditanam Dalam Semak
KOTA BHARU: Tiga laras senapang jenis AK47 ditemui tertanam dalam semak di Kampung Gemang, Jeli, semalam.
Penemuan pada jam 4.20 petang itu bersama tiga kelopak peluru, dilakukan oleh sepasukan anggota dari 2 Rejimen Renjer Diraja.
Panglima 8 Briged, Brig Jen Muhammad Huzaimi Sabri, berkata maklumat mengenai senjata itu adalah hasil daripada risikan anggotanya.
“Setiba di lokasi yang dikenal pasti, anggota 2 Rejimen Renjer menggali tanah dalam semak itu dan menemui tiga laras senapang yang ditanam bersama.
“Kita percaya tiga laras senapang itu adalah dari Thailand kerana di negara ini tiada senjata jenis itu digunakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketiga-tiga senapang itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bukit Bunga, Jeli.
Berhubung penugasan sempena musim banjir ini, Muhammad Huzaimi berkata pihaknya sudah membuat persiapan dari segi fizikal dan mental.
“Seramai 800 anggota 8 Briged yang berada di Kelantan dan Terengganu terbabit dalam atur gerak penugasan ini.
“Ia termasuk rancangan penempatan anggota, kenderaan, aset menyelamat , tinjauan serta latihan persediaan bagi menghadapi banjir di Kelantan dan Terengganu,” katanya. - BHOnline
Comments
Post a Comment