Pendakian ke puncak Kinabalu dengan normal baharu
Penularan virus COVID-19 menjadi igauan ngeri penduduk dunia hinggakan ia mengubah kebiasaan kehidupan manusia kepada normal baharu serta memberi kesan kepada aktiviti harian rakyat dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini. Tatacara normal baharu yang berlandaskan prosedur pengendalian standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut terpakai bagi aktiviti rekreasi termasuk pendakian ke puncak Gunung Kinabalu. Setelah hampir dua bulan aktiviti pendakian ke Gunung Kinabalu ditutup sementara kepada orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Taman Taman Sabah (TTS) telah membuka semula laluan pendakian pada 16 Mei lepas tetapi setiap pendaki perlu mematuhi SOP. Peluang ini tidak dilepaskan sia-sia oleh media di Sabah termasuk penulis apabila menerima tawaran TTS bagi pembukaan semula pendakian untuk melihat pelaksanaan SOP ke puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter itu, baru-baru ini. ...