Asfia Angkat Sumpah Sebagai Pemangku TYT
KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengangkat sumpah sebagai Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak bermula 28 November 2018 hingga 6 Januari 2019.
Majlis Istiadat Angkat Sumpah yang diadakan di Astana Negeri, Petra Jaya semalam dimulakan dengan bacaan Surat Cara Pelantikan Pemangku Yang di-Pertua Negeri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Majlis kemudiannya diikuti dengan angkat sumpah oleh Pemangku Yang di-Pertua Negeri dan majlis menandatangani Surat Sumpah Jawatan disaksikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri Panglima David Wong Dak Wah.
Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak kemudiannya menandatangani Surat Pengisytiharan disaksikan Ketua Menteri.
Istiadat Angkat Sumpah diakhiri dengan bacaan doa yang dibacakan Imam Besar Negeri Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Pemangku Yang di-Pertua Datin Amar Datuk Fatimah Mohd Iskandar dan kenamaan lain. - UB
Comments
Post a Comment