Awang Tengah Bertemu Syarikat China Berminat Melabur Di Sarawak
BEIJING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan pertemuan dengan syarikat dari China yang berminat melebarkan sayap perniagaan ke Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Pertemuan syarikat-syarikat China yang terlibat dalam pelbagai industri adalah bertujuan membincangkan pelan perniagaan dan insentif yang ditawarkan Kerajaan Sarawak kepada pelabur luar.
Pertemuan tersebut dikendalikan pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Beijing yang diketuai Pengarahnya Mohd Zulkepli Embong.
Syarikat-syarikat tersebut terlibat dalam industri seperti akuakultur, pemprosesan karbon, tenaga diperbaharui, kelengkapan marin dan pembuatan besi keluli.
Awang Tengah mengetuai rombongan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan ke Beijing untuk lawatan kerja selama tiga hari.
Rombongan tersebut disertai Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais serta Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Malcolm Mussen Lamoh.
Turut mengiringi rombongan tersebut adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datu Liaw Soon Eng, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Hashim Bojet dan Ketua Pengarah Operasi PUSAKA Capital Mohd Nor Topek Julaihi. - UB
Comments
Post a Comment