Lawatan Ke Fujian Disifatkan Membuka Jalan Kerjasama Ekonomi Lebih Besar


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyifatkan lawatannya ke Fujian, China akan membuka jalan bagi kerjasama ekonomi lebih besar dengan wilayah tenggara China itu.

Abang Johari yang kini berada di China untuk lawatan kerja, semalam mengadakan lawatan Fuzhou iaitu ibu kota Wilayah Fujian, China.

Beliau yang berucap pada kunjungan terhadap Gabenor Wilayah yang diwakili Naib Gabenor Eksekutifnya Zhang Zhinan di sebuah hotel di Fuzhou, berkata Sarawak berminat mewujudkan hubungan ekonomi dengan Fujian sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan ekonomi moden di Sarawak.

Abang Johari menegaskan bahawa Sarawak sedang meneroka langkah untuk membawa digitalisasi ke sekolah terutama di prasekolah.

Malahan satu perbincangan telah diadakan kelmarin bersama NetDragon Websoft Ltd berpangkalan di Fuzhou, yang merupakan peneraju dalam pembelajaran bilik darjah interaktif untuk meneroka cara memperkenalkan pembelajaran berasaskan teknologi di Sarawak.

Abang Johari turut memberitahu rakan sejawatannya dari China bahawa Sarawak melabur RM1 bilion untuk menaik taraf infrastruktur teknologi bagi membolehkan digitalisasi yang berkesan termasuk pendidikan.

Beliau dengan itu berharap hubungan ekonomi yang lebih baik antara Fujian dan Sarawak akan membuka jalan lebih banyak khasnya kerjasama daripada aspek industri pelancongan bagi kedua-dua pihak.

Abang Johari dalam ucapannya turut menjemput Gabenor Wilayah datang melawat Sarawak bagi mengeratkan lagi hubungan budaya dan ekonomi antara Fujian dan Sarawak.

 Pada majlis yang sama kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Aspire Link Sdn Bhd yang berpangkalan di Sarawak dan NetDragon Websoft Holdings Ltd berpangalan di Fuzhou, peneraju dunia sebagai pembekal perisian dan perkakasan pendidikan digital.

Aspire Link diwakili Datuk Stanley Ling sementara Netdragon oleh Naib Presidennya Datuk Dr Simon Leung sambil disaksikan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Selain itu rombongan ke China turut disertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas