Pertikaian Mac 2015 Mungkin Betul, Tapi... - Najib
KUALA LUMPUR: Bukti ditunjukkan Pengerusi Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong, berhubung kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekitar tiga tahun lalu tidak utuh kerana bersandarkan siri e-mel yang dicuri, malah pelakunya terbabit dalam tindakan peras ugut.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika menjelaskan perkara itu berkata, pencuri e-mel PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) berkenaan kemudian disabitkan kesalahan di mahkamah Thailand dan berdepan tuduhan jenayah.
“PetroSaudi dimiliki oleh Tareq Obaid dan Putera Turki bin Abdullah yang pada ketika itu adalah anak ketujuh dan kesayangan Raja Abdullah serta memegang jawatan Gabenor Riyadh, iaitu wilayah paling besar di Arab Saudi dan ibu kota negara berkenaan.
“Pada masa itu, kami juga bertanya kepada PetroSaudi mengenai kesahihan segala dakwaan yang tersebar, namun jawapan melalui surat rasmi syarikat berkenaan menyatakan ia palsu dan GoodStar adalah dan sentiasa di bawah pemilikan PetroSaudi.
“Ketika itu, apa juga pembayaran dibuat kepada PetroSaudi dikembalikan berserta keuntungan dalam bentuk unit dana, malah ia dijamin Aabar Corporation dan dimiliki IPIC yang memiliki aset dua kali ganda lebih besar daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
“Juruaudit yang juga antara empat syarikat audit terbesar di dunia bagi 1MDB mengesahkan kewujudan nilai unit jaminan Aabar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, hari ini membidas Najib susulan kegagalannya menjawab pendedahan Kooi Ong berhubung pertemuannya dengan bekas Menteri Kewangan itu pada Mac 2015 lalu sehingga berdepan tindakan punitif, sekali gus memberi asas untuk masyarakat mempercayainya.
Menjawab ‘serangan’ itu, Najib menjelaskan, peguam-peguam ternama seperti ‘Wong and Partners’ yang diupah 1MDB untuk menyediakan perjanjian dan meneliti transaksi 1MDB dengan pelbagai syarikat asing tidak pernah menyuarakan sebarang kepincangan.
Lanjutan pertemuan dengan Kooi Ong, Najib berkata, kerajaan melaksanakan perjanjian penyelesaian pada Jun 2015 dengan IPIC dan menukar unit dana berkenaan dengan syarikat berpangkalan di Abu Dhabi itu mengambilalih bon AS$3.5 bilion.
“Saya sendiri menghubungi Putera Raja Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour dan baginda segera membayar AS$1 bilion kepada 1MDB sebagai memulakan proses terbabit, malah ketika itu tiada petunjuk bahawa jaminan unit atau jumlah dibayar 1MDB kepada Aabar-BVI adalah satu penipuan.
“Bagaimanapun, hanya pada penghujung 2015, IPIC mempertikai jaminan itu atau menafikannya sebagai pemilik Aabar dan ini terjadi selepas orang kuat Putera Raja UAE, Khadem Al Qubaisi, dipecat daripada jawatannya sebagai Pengarah Urusan IPIC.
“Selain perjanjian penyelesaian dengan IPIC, kerajaan memulakan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pengauditan 1MDB. Inilah keadaan yang berlaku selepas Kooi Ong memberitahu saya pada Mac 2015,” katanya.
Mengakui kemungkinan luahan pada Mac 2015 itu mempunyai asas, Najib bagaimanapun berkata ia bersandarkan dakwaan kakitangan dibelenggu rasa tidak puas hati, berbanding penjelasan dikemukakan Gabenor Riyadh, Putera Raja Arab Saudi, juruaudit antarabangsa dan pengurusan tertinggi Aabar. - BHOnline
Comments
Post a Comment