Tiada kenaikan kadar tol: “Tindakan oportunis kerajaan BN!”- Kenyataan Guan Eng pada 2014


Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 6 Februari 2014

Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional hanya berubah nada, namun tidak pada kata-katanya dalam hal pembekuan kenaikan kadar tol selama setahun dan membuat bayaran RM400 juta kepada syarikat konsesi tol.

Pengumuman yang dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin bahawa Kabinet tidak akan mengenakan sebarang kenaikan tol dalam tahun 2014 adalah satu taktik oportunis yang jelas digunakan oleh BN untuk menyenangkan hati pengundi BN di Kajang pada 23 Mac 2014. Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional hanya berubah nada, namun tidak pada kata-katanya dalam hal pembekuan kenaikan kadar tol selama setahun dan membuat bayaran RM400 juta kepada syarikat konsesi tol.

Walaupun mereka berjanji dalam manifesto pilihanraya pada tahun 2013 untuk mengurangkan kadar tol antara bandar, Kerajaan Persekutuan BN telah mengumumkan bahawa akan terdapat banyak kenaikan kadar tol pada tahun ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar malah memberitahu bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan kenaikan kadar tol boleh menggunakan jalan alternatif yang tidak bertol, meskipun tidak ada sebarang jalan alternatif untuk sesetengah laluan.

BN jelas sekali hanya menukar nada, tetapi tidak mengubah kata-katanya apabila syarikat konsesi lebuhraya tidak rugi sedikitpun malah masih mengaut untung dengan bayaran pampasan sebanyak RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan. Ini bukanlah jalan penyelesaian yang tepat memandangkan RM400 juta tersebut akhirnya akan ditanggung dan dibayar juga oleh rakyat. Kenapa mesti beberapa syarikat konsesi tol mendapat faedah hasil kerugian 28 juta rakyat biasa?

Penyelesaian jangka pendek ini hanyalah untuk tahun ini, kadar tol pastinya akan naik juga pada tahun 2015 kecuali seandainya Kerajaan Persekutuan BN membekukan kenaikan tersebut juga dan membayar pampasan RM400 juta sekali lagi. Langkah taktikal demi pilihanraya kecil Kajang ini menunjukkan bahawa BN sudah sama sekali terlupa bagaimana untuk mentadbir dan hanya melakukan pendekatan memerintah sehari demi sehari hanya berdasarkan ketergesaan politik dan bukan prinsip kepentingan umum.

Reformasi sebenar terhadap kontrak lebuhraya yang begitu berat sebelah hanya dapat dilaksanakan apabila tidak ada keperluan untuk menggunakan wang rakyat bagi membuat bayaran pampasan kepada syarikat tol oleh Kerajaan Persekutuan apabila kenaikan kadar tol ditunda atau dimansuhkan. Lagipun kebanyakan operator lebuhraya bertol sudahpun mendapat faedah dan pulangan modal asal (operator Jambatan Pulau Pinang telah mengutip lebih RM2 bilion, dengan kos asal RM1.3 bilion); apa yang mereka perolehi sekarang adalah keuntungan bersih semata-mata.

LIM GUAN ENG


TTKM

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas