Borang Pendaftaran EFS Boleh Didapati Di JPN Mulai 1 Mac Depan


KUCHING: Borang pendaftaran Endowment Fund Sarawak (EFS) boleh didapati di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau mana-mana cawangannya mulai 1 Mac depan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ibu bapa yang mempunyai bayi baharu lahir, boleh mengujungi mana-mana cawangan JPN berdekatan untuk berbuat demikian.

Katanya pendaftaran EFS dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan beberapa prosedur dan kerajaan negeri telah memilih Bank Islam dalam kerjasama itu.

“Ibu bapa mengisi borang EFS yang disediakan semasa membuat pendaftaran kelahiran dan borang lengkap diserahkan kepada JPN atau cawangan.

“Pihak JPN akan menghantar borang yang telah lengkap ke cawangan Bank Islam setiap dua minggu dan pihak bank akan memproses borang lengkap berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat mengenai EFS yang dihadiri Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Dr Zulfar  Abdullah, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad dan Ketua Pengurusan Tunai dan Deposit, Bank Islam Zury Rahimee Zainal Abiden di Wisma Wanita di sini, semalam.

Tambah Fatimah, pemakluman pendaftaran akan dihantar oleh pihak bank ke alamat yang didaftarkan dan sijil boleh dituntut di Bank Islam atau cawangan yang dinyatakan dalam surat pemakluman.

Sementara itu daripada aspek kelayakan katanya pada mesyuarat kabinet Khamis lepas, telah memutuskan beberapa kelayakan termasuk warganegara Malaysia, lahir di Sarawak atau luar Sarawak (luar negara dan Semenanjung Malaysia).

“Kedua-dua atau salah seorang ibu bapa pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus ‘K’ dan kepada warga Sarawak yang berada di luar negara, mereka juga boleh mendaftar melalui pejabat kedutaan atau konsulat negara mereka tinggal.

“Bagi kategori anak angkat, kedua-dua atau salah seorang ibu bapa angkat pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus ‘K’ selain mempunyai Sijil Pengangkatan Anak yang sah,” katanya.

Beliau pada masa yang sama menegaskan memandangkan skim EFS itu untuk semua bayi anak Sarawak, bagi ibu yang mempunyai bayi tetapi tiada pasangan atau suami juga boleh mendaftar tetapi dengan syarat ibu berkenaan harus mempunyai dokumen diri bagi membuktikan mereka adalah warga Sarawak.

Dalam ucapan Belanjawan Sarawak 2019, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan pemberian EFS RM1,000 kepada setiap kelahiran anak Sarawak bermula 2019 dan kerajaan negeri memperuntukkan RM40 juta bagi tujuan berkenaan untuk tahun ini. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu