ECRL: 2,250 Orang Hilang Kerja
KUALA LUMPUR: Pelbagai spekulasi tentang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mula menampakkan kesannya kepada kehidupan rakyat.
Menurut Exco Pemuda UMNO, Ahmad Badurol Hisham Mukhatar, kira-kira 2,250 rakyat tempatan telah kehilangan kerja akibat keputusan kerajaan menggantung pembinaan projek itu untuk rundingan semula, Julai lalu.
Malah, kata Ahmad Badurol Hisham lagi, projek yang diyakini akan dibatalkan itu juga bakal membawa negeri-negeri di Pantai timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang ke ‘zaman gelap’ akibat kurangnya usaha Kaerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri-negeri yang ditadbir pembangkang itu.
“Pastinya, China telah melancarkan perang dagang terhadap Malaysia apabila kejatuhan harga komoditi kelapa sawit begitu mendadak selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempolitikkan isu ECRL dengan bermain angka kos pembinaan yang kononnya semakin meningkat. Atas sebab itu, kerajaan China hari ini mengimport kelapa sawit secara terus dari Indonesia.
“Hari ini seluruh pengusaha kebun dan ladang kelapa sawit termasuklah peneroka Felda sedang menerima impaknya akibat daripada langkah sumbang kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam memberitahu kerajaan Malaysia masih berunding dengan kerajaan China berkenaan projek berkenaan.
Walau bagaimanapun, kenyataan bercanggah oleh beberapa pemimpin kerajaan, termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuatkan rakyat kebingungan serta tidak pasti akan nasib projek tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Badurol Hisham menyimpulkan situasi projek ECRL kini meletakkan rakyat Malaysia dalam keadaan ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.
Ini berikutan rakyat Pantai Timur terus ‘bergelap’ daripada sebarang pembangunan manakala perang dagang China terhadap Malaysia pula merugikan golongan petani dan peneroka.
“Kerajaan di bawah PH terus bermain tarik tali dalam keputusan pembatalan projek ECRL apabila wujud konflik kepentingan antara menteri dengan Perdana Menteri,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Comments
Post a Comment