Sanggup Palsukan Kematian Elak Bayar Hutang
SUNGAI PETANI: Seorang penagih dadah sanggup menipu isteri konon dirinya dipukul sehingga mati sebelum mayat dibuang ke lokasi tidak diketahui dipercayai akibat masalah hutang apabila rumah diduduki tertunggak selama tiga bulan.
Penipuan lelaki itu dibuat menerusi dua lelaki dipercayai rakan yang datang bertemu dengan isterinya berusia 26 tahun di kediaman mereka di Taman Spice Village, di sini, jam 12.30 tengah malam pada 22 Januari lalu memaklumkan dia dipukul sebelum mayatnya dicampak ke lokasi tidak diketahui.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata isterinya yang bimbang dengan keselamatan suaminya, 26, memaklumkan kepada keluarga sebelum membuat laporan polis.
Menurutnya, polis kemudian menjalankan siasatan dan mencari mayatnya di sekitar kawasan Darul Aman Perdana selepas menerima maklumat kononnya mangsa dibuang di situ.
“Bagaimanapun polis gagal menemui mayat lelaki terbabit sehinggalah satu lagi laporan polis dibuat bapa mentuanya semalam pada jam 11 malam.
“Bapa mentuanya memaklumkan menerima maklumat daripada penduduk Flat Paya Nahu mengatakan lelaki itu berada di sana dan polis terus ke lokasi itu sebelum menahannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Adzli berkata, hasil siasatan, lelaki itu memaklumkan dia keluar dari rumah pada 19 Januari dan memberitahu isterinya dia ke flat itu untuk membersihkan rumah kosong bagi dijadikan tempat tinggal bersama anak-anak kerana rumah sewa diduduki sekarang sudah tidak dibayar selama tiga bulan.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh binaan positif dadah methamphethamine hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Semakan juga mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah lampau membabitkan dadah, orang dikehendaki, ceroboh dan mencuri,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. - BHOnline
Comments
Post a Comment