Tribunal Siasat SPR Memalukan - Peguam


KLANG: Penubuhan tribunal untuk menyiasat salah laku Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika kesemua ahlinya sudah meletakkan jawata disifatkan sebagai tragedi yang memalukan Jabatan Peguam Negara dan sistem perundangan Malaysia keseluruhannya.

Malah, peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili empat daripada enam bekas ahli SPR menggelar prosiding tribunal pada hari ini sebagai 'black Monday for the rule of law'.

Meletakkan beban itu ke atas bahu Peguam Negara, Tommy Thomas, peguam itu mendakwa, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah diberikan maklumat yang salah dan kesannya, keputusan kerajaan menubuhkan tribunal adalah memalukan semua pihak.

Tegasnya, bidang kuasa tribunal cuma dua, menyiasat salah laku dan jika disabitkan salah, mereka boleh menyingkirkan ahli-ahli SPR berkenaan

Namun, kuasa terbabit sudah hilang kuasa kerana enam ahli SPR yang dipertikaikan telah meletakkan jawatan berkuatkuasa 1 Januari lalu, 27 hari sebelum tribunal bermula.

"Berdasarkan kepada dokumen, aduan adalah daripada Bersih yang menulis surat kepada Perdana Menteri. Perdana Menteri ajukan kepada Peguam Negara. Bertindak atas surat itu, Peguam Negara menasihatkan Perdana Menteri untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal ini.

"Jadi tribunal ini ditubuhkan semata-mata berdasarkan kepada aduan dari Bersih dengan 13 pertuduhan. 10 daripadanya adalah dakwaan dibuat Bersih, yang kemudian diterjemah ke dalam bahasa Inggeris sebagai pertuduhan ke atas anak guam kami," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tribunal lima anggota hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong selesai membuat prosiding terhadap kes tersebut di sini semalam.

Empat lagi hakim adalah Tan Sri Zaleha Zahari, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham.

Dalam pada itu, Mohd. Khairul Azam menjelaskan, jika Peguam Negara berpandangan, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu wujud salah laku, maka, keseluruhan proses pilihan raya termasuk keputusan yang berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) adalah tidak sah.

"Disebabkan Peguam Negara mempersoalkan ke absahan PRU-14, (dakwa) ada salah laku, (keputusan) boleh jadi tak sah dan terbatal, kita perlu kepada pilihan raya umum baharu dan kita akan ada Perdana Menteri baharu, Peguam Negara baharu dan segala baharu.

"Anda (Peguam Negara) yang membuka pintu, saya suka untuk masuk (mengambil tindakan undang-undang susulan)," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas