'Pontianak Russia' Palsukan Dokumen Untuk Jadi Doktor
MOSCOW: Seorang lelaki Russia didakwa hari ini kerana memalsukan dokumen untuk bekerja sebagai doktor di hospital selepas dilaporkan ditempatkan di kemudahan psikiatri selama 10 tahun kerana membunuh rakan sekelasnya dan meminum darah mangsa.
Penyiasat berkata, mereka menangkap lelaki berusia 36 tahun itu yang bekerja sebagai doktor di hospital di bandar raya Chelyabinsk di Urals dan mendakwa beliau dengan menggunakan ijazah palsu untuk mendapat kerja November tahun lalu.
Lelaki yang dinamakan media sebagai Boris Kondrashin boleh bekerja sebagai doktor walaupun dihukum menjalani rawatan perubatan wajib pada 2000 selepas mengaku melakukan jenayah serius, kata penyiasat.
Media Russia melaporkan, ketika masih remaja pada 1998, Kondrashin menyuntik rakan sekelasnya berusia 16 tahun dengan pelali sebelum mengerat mayat mangsa dalam ajaran sesat dan meminum darahnya.
Kondrashin ‘menganggap dirinya sebagai pontianak’, lapor laman berita Znak.com.
Pada Ogos 2000, Kondrashin diletakkan di hospital psikiatri selepas didiagnos menghidap skizofrenia dan disifatkan tidak berupaya memahami tindakannya, lapor akhbar Chelyabinskaya Nedelya ketika itu.
Dia dibebaskan 10 tahun kemudian.
Kondrashin mendapat kerja sebagai doktor penjagaan khas oleh City Hospital No 11 di jabatan pencegahan perubatan di Chelyabinsk.
Tugasnya adalah menggalakkan orang ramai supaya tidak mengambil alkohol dan jangan merokok dan memberitahu mereka mengenai kelebihan bersenam, kata ketua jabatan kesihatan bandar raya itu, Natalya Gorlova, menurut agensi berita TASS. — AFP

Comments
Post a Comment