Pelbagai aktiviti menarik pada Majlis Agenda Warisan Pintar Old Kuching


KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menganjurkan Majlis Agenda Warisan Pintar Old Kuching 2019 bermula 25 hingga 31 Mac di Tebingan Kuching di sini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan dihadiri isterinya Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, malam kelmarin.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai serta tetamu kehormat lain.

Abdul Wahap dalam ucapannya berkata, bertemakan ‘Empowering Smart Community,’ Majlis Agenda Warisan Pintar Old Kuching 2019 menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk penyertaan dan manfaat semua lapisan masyarakat.

“Antaranya Malam Kebudayaan Warisan, ekspo dan pameran yang disertai oleh agensi kerajaan, swasta dan komuniti terlibat dengan inisiatif  Kejiranan Mesra (KJM) DBKU.

“Selain itu, aktiviti sukan dan hiburan, e-peraduan, ‘Kuching Got Talent,’ Dapur Heritage dan banyak lagi disediakan sepanjang majlis Agenda Warisan ini,” katanya.

Selama lapan tahun berturut-turut, kata Abang Wahap, DBKU telah berjaya membawa semua pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam agenda tahunan itu.

“Agenda Warisan Pintar Old Kuching adalah lambang penyatuan warga Sarawak ke arah ekonomi digital dan usaha memelihara budaya warisan Sarawak.

“Jadi, besar harapan saya agar seluruh bandar raya Kuching akan terus menyokong dan mendukung hasrat Ketua Menteri kita dan DBKU untuk melonjakkan Sarawak ke arah transformasi ekonomi digital serta mentransformasikan Kuching sebagai bandar raya yang berdaya huni, dinamik serta sentiasa cantik, bersih dan selamat untuk didiami,”’ujarnya.

Dalam pada itu, majlis turut menyaksikan Abang Johari melancarkan dua insiatif baharu DBKU iaitu Pelan Penambahbaikan Cantik, Bersih dan Selamat (CBS)  serta RadioKU yang merupakan radio pihak berkuasa tempatan pertama di Sarawak.

Turut diadakan penyampaian Watikah Pelantikan KJM DBKU kepada 10 KJM bagi 2018-2019 dan Anugerah KJM 2018 kepada sembilan KJM oleh Abang Johari. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas