RM333.42 juta besarkan kampung, penempatan semula


LAWAS: Sejumlah RM333.42 juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk penyediaan infrastruktur bagi 40 Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula di seluruh Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Skim Penempatan Semula dilaksanakan untuk menyediakan lot-lot kediaman dengan kemudahan asas untuk penempatan semula setinggan.

Beliau menambah, pelaksanaan skim ini untuk menampung pertambahan penduduk dan memenuhi keperluan kediaman rakyat berpendapatan rendah dan tidak mempunyai tanah sendiri.

“Manakala pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung adalah untuk mengurangkan kepadatan penduduk di kampung sedia ada dengan memperuntukkan lot-lot kediaman yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan infrastruktur seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik,” katanya pada Penyerahan Surat Hak Milik Tanah, Lesen Penduduk Sementara dan Cek Pampasan Tanah di Dewan Masyarakat Sundar dekat sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Abdullah Julaihi serta Pegawai Jabatan Tanah dan Survei Limbang Superintenden Awang Nazri Awang Saperi.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, serta Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata lagi, pada 6 Mei tahun lepas Ketua Menteri mengumumkan polisi baharu berkaitan penyediaan infrastruktur Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula kepada spesifikasi yang lebih baik iaitu jalan berturap, perparitan konkrit, penembokan lot, bekalan air dan elektrik.

Langkah tersebut jelasnya, diambil untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim berkenaan.

Sementara itu katanya, sekitar RM6.1 juta cek pampasan diserahkan kepada 33 pemilik tanah yang terlibat dalam projek pembangunan semula Kampung Datu pada majlis itu.

“Penyerahan cek pammpasan membuktikan setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan kerajaan akan diberi pembayaran pampasan.

“Pembayaran pampasan tanah membuktikan kerajaan tidak merampas tanah seperti didakwa pihak tertentu,” ujarnya.

Beliau berkata, pelaksanaan serta pembayaran pampasan untuk projek ini membuktikan kerajaan mementingkan keperluan rakyat serta menyediakan pembangunan untuk rakyat.

“Setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan kerajaan akan dibayar dengan pampasan yang berpatutan.

“Kerajaan membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu