Selepas pendaftaran dibatalkan, AAM beri amaran sukan motor dalam ketidaktentuan


PETALING JAYA: Tindakan Putrajaya membatalkan pendaftaran Persatuan Automobil Malaysia akan menyebabkan sukan permotoran berada dalam ketidaktentuan dan menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa, kata Pengerusi AAM, Tunku Mudzaffar Mustapha.

Bercakap kepada FMT, Mudzaffar kesal pendaftaran AAM dibatalkan secara mengejut pada 30 November tahun lalu, walaupun ia berkomunikasi secara tetap dengan pejabat pesuruhjaya sukan (SC) berhubung isu dihadapinya.

AAM ialah satu-satunya badan sukan Malaysia yang diluluskan 3 pertubuhan permotoran dunia, iaitu Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Suruhanjaya Perlumbaan Go-kart Antarabangsa (CIK).

Sebarang perlumbaan kenderaan atau go-kart yang memerlukan kelulusan FIA, FIM atau CIK, perlu memohon lesen daripada AAM.

AAM dikehendaki menyediakan lesen dan insurans bagi acara permotoran dan peserta, serta bagi pelumba Malaysia yang bercadang menyertai perlumbaan di luar negara.

Mudzaffar berkata, SC meminta AAM menyerahkan laporan akaun tahunan dan meminda perlembagaannya, manakala persatuan itu pula memaklumkan SC mengenai tindakan mereka, termasuk membentangkan pindaan perlembagaan dalam mesyuarat agung tahunan akan datang.

“Ia proses panjang tetapi sedang dilaksanakan, jadi kami terkejut menerima notis pembatalan pendaftaran secara tiba-tiba tanpa digantung terlebih dahulu.”

SC turut memberitahu mereka dalam mesyuarat sebelum pendaftaran dibatalkan, berpuluh-puluh badan sukan lain juga berdepan masalah sama.

“Dalam surat pemberitahuan mengenai pembatalan pendaftaran, kami diberi 30 hari untuk merayu kepada menteri belia dan sukan. Tetapi, kami tidak diberikan peluang mengemukakan rayuan kami kepada menteri.”

Jika AAM tidak dibenarkan terus beroperasi, akan wujud ketidaktentuan dalam sukan permotoran kerana tiada badan di negara ini yang diiktiraf FIA, FIM dan CIK.

Sumber dalam industri itu memberitahu FMT, Putrajaya melobi untuk Persatuan Permotoran Malaysia menjadi badan penyelia permotoran beberapa bulan sebelum AAM dibatalkan pendaftaran.

Sumber itu berkata, MAM yang kini diketuai taikun, Mokhzani Mahathir, tidak boleh mengambil alih peranan AAM, kecuali badan antarabangsa mengiktirafnya.

“Tetapi, ini bukan proses semalaman kerana keputusan ini dibuat dalam perhimpunan agung badan-badan ini, yang akan menyiasat mengapa AAM dibatalkan pendaftaran dan mengapa MAM perlu diiktiraf.

“Jika AAM tidak dapat berfungsi, Malaysia tidak dapat menganjurkan acara antarabangsa utama seperti MotorGP kerana AAM ialah satu-satunya badan diluluskan di Malaysia.”

Ini akan membawa masalah kepada pelumba dan perniagaan membabitkan permotoran, seperti pembekal dan bengkel motor.

Syed Saddiq ketika dihubungi tidak menjawab soalan mengenai tindakan melobi yang disyaki dilakukan untuk MAM.

Beliau memberitahu FMT yang AAM sudah digantung kerana sering melanggar peruntukan dalam Akta Pembangunan Sukan.

“Banyak amaran diberikan sebelum ini, aduan datang daripada komuniti sukan permotoran sendiri. Penting untuk badan kawal selia antarabangsa menyedari perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.”

Katanya, kerajaan tidak menentukan apa yang patut dan tidak patut dilakukan badan antarabangsa. - FMT

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas