Siap siaga hadapi kemarau


KUCHING: Sarawak bersiap siaga menghadapi musim kemarau yang dijangka berlanjutan hingga Mei depan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, semua agensi termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) peringkat bahagian dan daerah dilengkapi kemudahan logistik dan peruntukan dari segi kewangan.

“Sarawak sekarang mengalami episod El Nino iaitu musim panas. Walaupun ia lemah tetapi ia dijangka berlaku dari Mac hingga Mei ini dan kita telah pun mula mengalaminya, cuaca kering dan kurang hujan.

“Beberapa tempat, kampung dan rumah panjang kini menghadapi masalah kekurangan air bersih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasca Nilai Bencana Banjir dan Persiapan Menghadapi Kemarau JPBN Sarawak di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datu Ik Pahon Joyik.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, bantuan bekalan air mesti sampai kepada penduduk terjejas dalam tempoh enam jam selepas Pejabat Residen menerima aduan bagi mengelak kesulitan lebih teruk dihadapi mangsa.

Beliau berkata, ia merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi menangani masalah bekalan air dihadapi penduduk terjejas kemarau yang melanda Sarawak ketika ini.

Selain itu katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sarawak telah diberi arahan menentukan bekalan air yang akan diedarkan mencukupi sebelum diagihkan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Dari segi logistik, kita dilengkapi dengan lima helikopter, dron (lima), 172 lori, 549 van, 109 ambulans dan 283 bot.

“Bagi penghantaran bekalan air ke tempat-tempat terpencil di pedalaman dan pesisir pantai, kalau logistik dari segi kenderaan tidak mencukupi mereka (agensi pelaksana) dibenarkan menyewa apa yang ada.

“Pokoknya adalah kita mesti membekalkan air kepada penduduk terjejas secepat mungkin kerana air keperluan sangat penting dalam kehidupan kita,” tegasnya.

Selain itu katanya, JBALB telah memulakan usaha mengisi tangki-tangki air penduduk terjejas di seluruh Sarawak yang dibekalkan dengan kemudahan itu.

“Keutamaan kita sekarang juga ialah mengisi tangki-tangki air penduduk yang masih bergantung kepada sumber air gunung atau altenatif lain. Bagi kawasan yang terpencil dan jauh di pedalaman atau pesisir, kita akan cuba guna apa sahaja fasiliti yang ada,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini paras air di empangan-empangan utama di seluruh Sarawak masih pada paras normal.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata, beberapa insiden kebakaran terbuka melibatkan hutan dan belukar dilaporkan berlaku di seluruh Sarawak sejak awal Mac 2019, namun kebanyakannya dapat dikawal.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak melakukan kebakaran terbuka dan segera melaporkan kejadian itu sekiranya berlaku kepada agensi-agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), balai polis, pejabat residen dan pejabat daerah di kawasan masing-masing.

“Saya berharap kolaboratif antara semua agensi dengan penduduk setempat akan diteruskan dan apa jua isu yang timbul di peringkat akar umbi, mesti diselesaikan dengan cepat,” katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas