Penduduk Sebuyau harap masjid baharu siap sebelum Aidilfitri
SEBUYAU: Penduduk Sebuyau berharap pembinaan masjid baharu dapat disiapkan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Perkara itu disuarakan Imam Masjid Darul Iman Sebuyau Wan Madihi Wan Sait, 60, mewakili penduduk di kawasan tersebut yang memberitahu, masjid berkenaan sememangnya perkara yang amat ditunggu-tunggu sejak Masjid Darul Iman di Kampung Masjid runtuh akibat hakisan tanah dan tebingan sungai pada Disember 2008.
“Alhamdulillah pembinaan masjid ini lancar dan ia tersergam begitu indah serta besar.
“Meskipun ia lambat, kita penduduk Sebuyau amat gembira dan bersyukur kerana kerajaan Sarawak melaksanakan serta merealisasikan pembinaan masjid baharu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak projek pembinaan masjid baharu Sebuyau di sini semalam.
Tambah Wan Madihi, penduduk amat berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat terdahulu (di bawah Barisan Nasional) kerana pembangunan masjid baharu itu.
“Insya Allah ia akan dapat dipakai dan diguna oleh penduduk kampung di sini untuk menunaikan solat pada Hari Raya akan datang,” ujarnya.
Menceritakan peristiwa Masjid Darul Iman, beliau yang sudah berkhidmat lebih 25 tahun sebagai imam berkata, hakisan tapak lama masjid itu menyebabkan ia diisytiharkan tidak selamat untuk digunakan.
Ekoran itu, masjid berkenaan ditutup dan penduduk menggunakan surau yang ada untuk menjalankan aktiviti ibadah serta solat Jumaat.
Pembangunan masjid baharu Sebuyau kini melibatkan kerja-kerja dalaman dan dijangka siap pada tahun ini.
Masjid yang dibina dengan kos RM10.6 juta itu dijangka siap sepenuhnya tahun ini yang dapat menampung kapasiti lebih 2,000 orang.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ditemani Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi dan Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais melawat masjid baharu itu.
Sebelum itu, Abang Johari bersama rombongan turut melawat tapak pembinaan Calet Sebuyau yang kini sudah 2 peratus siap. - UB
Comments
Post a Comment