Pindaan Perlembagaan, GPS ambil keputusan tidak popular demi Sarawak


KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak cuba mengambil peluang untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkecuali dari mengundi usul pindaan Perkara 1(2), Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini.

Menteri Muda Undang-undang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata GPS cuma mahu rang undang-undang itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk dibincangkan lebih terperinci. 

"PH cuba mempengaruhi rakyat Sarawak dengan melabelkan GPS dengan berbagai gelaran. Semuanya bertujuan untuk meraih sokongan politik semata-mata.

"Jika mereka bersetuju dengan kita (GPS), mereka akan kelihatan lemah dan mereka tidak ada apa-apa lagi yang hendak diperjuangkan," katanya semalam ketika diminta mengulas isu berhubung kegagalan Dewan Rakyat pada Selasa lepas yang menyaksikan ia tidak diluluskan.

Rang undang-undang itu tidak diluluskan apabila gagal meraih undian dua pertiga Anggota Dewan Rakyat.

Hasidah menerusi satu kenyataan hari ini mengulas mengenai berita yang memetik Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, mendakwa GPS tidak pernah menyatakan kehendak memasukkan elemen Perjanjian Malaysia (MA63) dalam pindaan tersebut.

Katanya, rakyat Sarawak memang sangat menantikan pindaan tersebut tetapi ia perlu disempurnakan sebaik mungkin dan menyeluruh.

Rakyat Sarawak katanya tidak seharusnya mempercayai bulat-bulat apa yang didengar. 

Beliau menggesa agar rakyat membaca kandungan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

"Baca dan fahami hujah-hujah kami. Kami berjuang demi Sarawak yang tercinta dan bukan sekadar ingin meraih sokongan seperti dilakukan parti lain," tegasnya.

Keputusan untuk tidak mengundi diakuinya sebagai amat sukar, bagamanapun demi Sarawak ia tetap dilakukan.

"Kami di GPS akan terus dan melakukan semua perkara dengan berhati-hati, malah bukan hanya untuk menjadi hero," katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu