Rh Umpang ranap terbakar, 161 penghuni hilang tempat tinggal
SELANGAU: Sekurang-kurangnya 161 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang 25 pintu yang didiami di Rh Umpang, Ulu Baoh Chelum di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran, Khamis malam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak seramai 11 anggota diketuai PBK II Mclean C Madis dari Balai Bomba Sg Merah dikerahkan ke lokasi susulan menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.59 malam.
"Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati kebakaran telah memusnahkan keseluruhan rumah panjang setingkat jenis kayu tersebut," katanya sambil menambah Ketua BBP Sg Merah PKPgB Alimat Sam turut ke lokasi selaku Komander Operasi.
Katanya, bomba menghadapi cabaran apabila jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan tersebut kerana laluan yang sempit.
"Pasukan bomba memunggah pam dan peralatan ke dalam kereta pikap dan bergerak ke lokasi dalam lingkungan lima kilometer jauh melalui jalan tanah yang sempit sebelum tiba di lokasi kejadian," katanya lagi.
Operasi pemadamkan diteruskan sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya menggunakan sumber air dari anak sungai berhampiran.
Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi itu ditamatkan pada pukul 3.05 pagi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata insiden itu menjadikan jumlah kebakaran melibatkan rumah panjang adalah tiga dalam lima hari.
"Dalam tempoh lima hari, tiga rumah panjang terbakar, 89 pintu musnah, 798 mangsa hilang tempat tinggal, satu rentung dan dua cedera melecur," katanya.
Pada 14 April lalu, Rh Chandi di Sg Tau Selangau musnah dalam kebakaran. Kejadian itu turut meragut nyawa seorang wanita Orang Kelainan Upaya, dan menyebabkan 230 penghuni hilang tempat tinggal.
Manakala pada 15 April, seramai 407 penghuni terjejas apabila dua blok rumah panjang di Uma Bawang, Sg Asap musnah terbakar.
Secara keseluruhan, sebanyak empat kes kebakaran rumah panjang dicatatkan tahun ini dengan yang pertama berlaku di Betong pada 15 Januari lalu.
Bagaimanapun, kebakaran itu hanya melibatkan satu pintu daripada 20 pintu keseluruhan apabila api sempat dipadamkan oleh penghuni. - UB
Comments
Post a Comment