SEDC terus membantu membangunkan usahawan wanita


KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) meneruskan usaha memantapkan golongan usahawan dengan penyediaan bantuan pinjaman dan peralatan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, terdapat tujuh program yang disediakan SEDC bagi tujuan tersebut.

“Kita juga mahu semua usahawan wanita mengguna pakai pendekatan e-wanita yang telah dilancarkan Ketua Menteri baru-baru ini.

“Sekiranya, usahawan wanita kita mengikuti ekonomi digital dengan menjalankan perniagaan produk mereka dalam talian ia lebih menguntungkan,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat SEDC bagi program bantuan pinjaman dan peralatan semalam.

Ia tegasnya, amat bersesuaian kepada golongan wanita yang baharu mahu berjinak dalam bidang perniagaan dan usahawan wanita yang sudah berkecimpung untuk memajukan lagi perniagaan mereka.

Antara kategori program yang disediakan pihaknya termasuk Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan, Program Peningkatan Usahawan Bumiputera, Pembiayaan Kewangan, Latihan Keusahawanan, Premis Perniagaan dan Promosi Produk dan Pemasaran.

Sementara itu, Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir menjelaskan, pihaknya sememangnya berhasrat membangunkan wanita sebagai usahawan.

Sejak akhir-akhir ini ramai golongan wanita mula terlibat dengan bidang keusahawanan.

Justeru, pihaknya berhasrat memperbaiki kelemahan program serta memberi dorongan dan galakan di samping tunjuk ajar kepada golongan wanita yang berminat.

“Kami berharap perkongsian selama dua jam dalam mesyuarat ini berupaya menyatukan tujuan dan hala tuju kementerian dalam pembangunan wanita seterusnya,” ujarnya.

Majlis tersebut turut disertai Majlis Tertinggi Wanita (MTW) Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri darpada Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu