SHFF 2019 pelengkap Kempen Melawat Sarawak


KUCHING: Penganjuran Pesta Menuai dan Budaya Rakyat Sarawak (SHFF) 2019 yang berlangsung pada 26 hingga 28 April bertepatan pada masanya.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata SHFF 2019 yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak itu menjadi pelengkap kepada Kempen Melawat Sarawak untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri melalui kementerian ini, penganjuran Pesta Menuai dan Budaya Rakyat Sarawak ini disambut baik kerana ia menjadi pelengkap kepada Kempen Melawat Sarawak, yang memasuki bulan keempat.

“Penganjuran pesta selama empat hari itu amat tepat pada masanya kerana kami menjangkakan ramai pelancong tempatan dan asing akan datang ke Kuching bagi beberapa acara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Pesta Menuai dan Budaya Rakyat Sarawak (SHFF) 2019 yang dihadiri pengerusi pengelola yang juga Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak Jane Lian Labang dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Edwin Abit di sini, semalam.

Tambah Abdul Karim, selain SHFF bandar raya Kuching juga akan menjadi tuan rumah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) yang berlangsung pada 24 hingga 27 April ini.

Katanya acara tahunan itu menarik lebih daripada 100 penyertaan dari seluruh negara ASEAN dan ramai bintang filem serta artis terkenal akan berada di Kuching pada minggu berkenaan.

“Maka itu pelawat atau peserta AIFFA yang datang tahun ini mungkin boleh tinggal lama sedikit supaya dapat mengambil bahagian dalam pesta yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak ini nanti,” tegasnya.

Sementara itu Jane berkata, SHFF menampilkan dua program kemuncak iaitu drama muzikal yang kali ini menampilkan cerita rakyat kaum Bisaya bertajuk ‘Dang Buncu-Keindahan Mistik Bukit Barit’ dan pertandingan akhir Ratu Cantik Pesta Menuai 2019.

“Bagi drama muzikal, ia akan diadakan pada 27 April jam 8 malam di Kampung Budaya Sarawak sementara pertandingan akhir Ratu Cantik Pesta Menuai diadakan pada 26 April jam 8 malam di tempat yang sama,” katanya.

Tambah beliau, harga tiket adalah RM60 untuk dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak.

Mereka yang berminat boleh membeli tiket secara terus di Kampung Budaya Sarawak atau melalui pembelian atas talian di www.sarawakharvestfestival.com.my.

Untuk maklumat lanjut dan membuat tempahan, hubungi Grace atau Rashida di talian 082-826108 atau 082-826411 atau faks (082-846988), e-mel scv4you@gmail.com. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu