Swinburne Sarawak terus melakar sejarah tersendiri


KUCHING: Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melahirkan 311 graduan berkualiti tinggi dan mereka diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-19 universiti itu semalam.

Kumpulan itu terdiri daripada 286 penerima ijazah sarjana muda dan 22 ijazah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Antarabangsa), Pengurusan Sumber Manusia, Pengurusan Pembinaan, Sains (Penyelidikan) dan Sastera (TESOL-Mengajar Dalam Bahasa Inggeris).

Pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, tiga graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam kejuruteraan, sains dan perniagaan iaitu Raj Sekar Sethu, Jing Wenlong dan Tay Jia Jun.

Swinburne Sarawak telah menghasilkan 32 graduan PhD sejak 2012.

Anugerah disampaikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Pro Canselor Swinburne Sarawak dan Canselor Swinburne University of Technology Profesor John Pollaers.

Pollaers dalam ucapan pembukaan majlis berkata, majlis tersebut penting bagi mengiktiraf usaha keras dan kejayaan cemerlang graduan dalam bidang masing-masing.

“Swinburne amat berbangga dengan kualiti pembelajaran dan penyelidikannya sejak penubuhannya di Sarawak khasnya.

“Majlis graduasi ini membolehkan Swinburne secara terbuka mengiktiraf dan meraikan penuntut kami yang berjaya menamatkan pengajian dengan kelayakan pendidikan berkualiti tinggi,” katanya.

Beliau menambah, kelayakan itu direka khas bagi menghasilkan graduan yang siap berkerjaya dan alumni universiti berkenaan yakin dapat membina perniagaan yang mempunyai impak kepada ekonomi dan sosial.

“Kepada graduan, anda perlu belajar bekerja, mendengar dengan teliti, berfikir secara kritikal dan menyelesaikan masalah yang rumit melalui alasan-alasan kukuh.

“Apa jua profesion pilihan anda, kemahiran-kemahiran penting ini adalah mustahak kepada masa depan anda yang berjaya dan perkembangan profesional berterusan,” katanya.

Menurut Pollaers, Swinburne diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang sains, teknologi, reka bentuk, perniagaan dan perhubungan.

“Kami juga di kedudukan tertinggi dan terkenal kerana penglibatan kami dalam industri,” katanya.

Difahamkan Kadar Kebolehpasaran Graduan keseluruhan Swinburne ialah kira-kira 92 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Universiti itu juga kini berada di kedudukan ke-10 dalam JobStreet.com bagi Universiti Swasta Pilihan dalam senarai Malaysia. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas