Kejayaan ‘Crocodile Rangers’ gamit ramai
MIRI: Pasukan pemburu buaya berlesen yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Crocodile Rangers’ berjaya menumpaskan tiga buaya ganas Sungai Niah, pada awal pagi Ahad lalu.
Jurucakap pasukan ‘Team Smart Export’ itu Bryan Yong memberitahu, ketiga-tiga buaya tersebut masing-masing sepanjang 17.5 kaki, 16.5 kaki dan 12 kaki, ditangkap dalam operasi tengah malam sehingga jam 2 pagi 19 Mei lalu.
Katanya, kini dengan adanya pasukan ‘Crocodile Rangers’, penduduk tempatan yang berasa takut atau terancam dengan kehadiran buaya boleh menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan menangkapnya.
“Kita tidak mengenakan bayaran untuk menangkapnya dan penduduk yang tinggal di tebing sungai dan berasa terancam dengan kehadiran buaya di tempat mereka boleh menghubungi pasukan kami,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, ketika dihubungi semalam.
Kejayaan penangkapan buaya oleh pasukan berkenaan tular di media sosial di sini sejak semalam dengan ramai tertanya-tanya di mana dan bila ia berlaku.
Sebahagian persoalan terjawab selepas Bryan sendiri memuat naik gambar kejayaan operasi mereka itu di media sosial petang Selasa lalu.
Katanya, meskipun sudah mendapatkan lesen memburu yang sah daripada pihak berkuasa tempatan pada tahun lalu, namun pasukan itu hanya dapat menjalankan operasi mulai tahun ini disebabkan masalah kakitangan berpengalaman.
“Kami perlu mempunyai cukup kakitangan yang cekap dan berpengalaman untuk menjalankan tugas sebagaimana yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu Sarawak Forestry (SFC) mengesahkan pasukan itu mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Mereka dibenarkan untuk memburu 10 ekor buaya air tawar di Sungai Niah, Sungai Kuala Baram, Sungai Baong dan Sungai Kejapil dengan musim memburu yang ditetapkan ialah dari 10 April hingga 31 Oktober ini. - UB

Comments
Post a Comment