Sarawak ibarat sebutir mutiara yang menjadi rebutan


KUCHING: Sarawak ibarat sebutir mutiara yang menjadi rebutan sehingga menyebabkan segelintir pihak tergamak mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kebelakangan ini pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk yang terbaharu kononnya Sarawak bakal bankrap.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas itu bertujuan untuk ‘merampas’ Sarawak kerana mengetahui negeri ini memiliki sesuatu yang berharga lagi bernilai.

“Saya akui ada pihak yang tidak senang dengan kestabilan politik yang dimiliki termasuk perpaduan kukuh antara rakyat berbilang kaum di Sarawak.

“Sarawak ibarat sebutir mutiara. Sudah menjadi lumrah manusia apabila sesuatu yang cantik dan mahal bak mutiara pasti akan menjadi rebutan ramai yang menyimpan hasrat untuk memilikinya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Samarindok Aidilfitri 2019 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Justeru, Abang Johari mengajak seluruh rakyat untuk terus mengekalkan perpaduan dan bersatu hati mempertahankan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Barisan kabinet GPS terbukti berjaya mentadbir urus rakyat dan negeri secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Menurutnya, kestabilan politik dan ekonomi akan terus kekal andai Sarawak dipimpin oleh anak tempatan.

“Maka itu, kita jangan mudah terpengaruh dengan anasir jahat dari pihak luar yang ingin mengganggu gugat perpaduan rakyat negeri ini,” ujarnya.

Abang Johari dalam pada itu melahirkan keyakinan bahawa AKYBMS mampu memainkan peranan mengukuhkan lagi perpaduan bangsa Melayu pada masa akan datang.

“Dengan barisan kepimpinan yang baik dalam AKYBMS, saya percaya masa depan Melayu terus maju dan aset juga semakin bertambah,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, barisan menteri dan menteri muda kabinet negeri serta tetamu kehormat lain. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu