Lanjut moratarium, terhad pada golongan terjejas

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Prasarana Malaysia Berhad di Menara UOA, Bangsar. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan dan bukan lagi automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan ketika ini sedang berbincang dengan bank mengenai moratorium, dan terpulang kepada mereka sama ada boleh melanjutkannya atau tidak.

Katanya, kerajaan menerima banyak soalan mahupun permintaan daripada orang ramai yang memerlukan lebih banyak masa untuk moratorium ini.

"Bagi pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong, sewaktu kita melaksanakan moratorium enam bulan ini, kita menolong semua orang sama ada yang mempunyai gaji atau mampu untuk membayar, tetap dapat nikmati manfaat ini secara automatik.

"Jadi saya fikir menuju ke depan, langkah terbaik ialah untuk memberi tumpuan kepada golongan sasar yang mana lebih memerlukan.

"Tetapi kita tidak boleh memaksa bank untuk melakukannya dan kami akan terus mengadakan libat urus dengan mereka mengenai perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Prasarana Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

BNM pada 25 Mac lalu mengumumkan pelaksanaan moratorium bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020.

Sejumlah RM43.7 bilion telah dimanfaatkan oleh penerima moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan setakat 19 Jun lalu dengan sebanyak RM15.3 bilion dimanfaatkan oleh sektor perniagaan.

Tengku Zafrul turut menasihatkan semua pihak supaya segera berjumpa dan berbincang dengan bank mengenai penstrukturan semula pinjaman mereka dan jangan tunggu hingga saat akhir.

"Sila berjumpa dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga untuk membuat penstrukturan semula hutang jika anda mengalami masalah kewangan akibat dibuang kerja untuk mereka membantu. - BHOnline

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu