Australia tawar tempat perlindungan selamat kepada warga Hong Kong

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto AFP

SYDNEY: Australia pada Khamis menawarkan perlindungan untuk warga Hong Kong yang tinggal di negara itu sebagai tindak balas terhadap undang-undang keselamatan dikenakan China bagi wilayah berkenaan.

Menerusi tindakan yang boleh membangkitkan kemarahan Beijing itu, Perdana Menteri, Scott Morrison, berkata kerajaannya menggantung perjanjian ekstradisi dengan Hong Kong dan menawarkan lanjutan visa kepada ribuan warga Hong Kong di Australia yang akhirnya menjurus kepada pemberian status penduduk tetap.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana undang-undang keselamatan 'merupakan perubahan keadaan yang mendasar", sambil menambah pihak berkuasa Beijing dan Hong Kong sudah dimaklumkan mengenai rancangan itu.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas China membuka pejabat baharu di Hong Kong untuk ejen perisiknya bagi memantau pelaksanaan undang-undang yang dikuatkuasakan minggu lalu yang menyasarkan ke atas isu penindasan, pemisahan, keganasan dan pakatan asing.

Undang-undang itu adalah perubahan paling radikal dalam kebebasan dan autonomi Hong Kong sejak Britain menyerahkan wilayah itu kembali kepada China pada 1997.

Morrison berkata, kira-kira 10,000 warga Hong Kong di Australia yang tinggal dengan visa pelajar atau visa kerja sementara akan dibenarkan tinggal di negara itu untuk tambahan lima tahun tanpa mengira tarikh luput visa mereka.

"Sekiranya anda pemegang visa sementara, visa anda akan dilanjutkan hingga lima tahun lagi mulai hari ini... sebagai laluan untuk memperoleh status penduduk tetap pada akhir tempoh," katanya.

Sebelum pengumuman Morrison itu, Kementerian Luar Australia memberi amaran warganya di Hong Kong berhubung risiko penahanan di bawah undang-undang keselamatan baharu.

Awal minggu ini Kementerian Luar meningkatkan amaran perjalanan ke China, dengan mengatakan warga Australia menghadapi kemungkinan 'penahanan sewenang-wenangnya' di negara itu. - AFP

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

China Didakwa Memandulkan Etnik Uighur Secara Paksa

Sarawak miliki lima elemen maju dalam revolusi digital