Pendapatan Garis Kemiskinan baharu dinaikkan kepada RM2,208 sebulan

MGF07072020_PM-RASMI-BANCI-NEGARA08-3-681x454

KUALA LUMPUR – Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu nasional adalah RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah, selepas kerajaan mengkaji semula metodologinya yang dikemaskini pada tahun lalu.

Kali terakhir pengiraan metadologi PGK adalah pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan negara naik kepada 5.6% kepada 405, 441 isi rumah) bagi tahun 2019 berbanding 0.4% (24,700 isi rumah) yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005.

Sekiranya metodologi PGK 2019 digunakan untuk mengukur kadar kemiskinan pada tahun 2016, peratusannya adalah 7.6% (525, 743 isi rumah).

”Ini bermakna, jika diukur menggunakan metodologi PGK yang baharu, kadar kemiskinan negara telah menurun sebanyak dua mata peratus dari 7.6% pada tahun 2016 kepada 5.6% pada tahun 2019, jelas menunjukkan program dan inisiatif pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh kerajaan dengan disokong oleh pelbagai pihak lain seperti
badan bukan kerajaan dan swasta telah membuahkan hasil yang baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, usaha penambahbaikan kaedah pengukuran kemiskinan ini bermula daripada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) pada 18 Oktober 2018.

Bertitik tolak dari itu, kerajaan telah mengkaji semula metodologi penetapan PGK supaya ia lebih menggambarkan corak perbelanjaan dan keperluan serta demografi semasa isi rumah, seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara sejak tahun tersebut.

Kajian ini telah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan, dan beberapa kementerian serta agensi yang berkaitan bermula
Mac 2019 sehingga Jun 2020.

Menurutnya, hasil daripada kajian semula yang dijalankan, metodologi penetapan PGK telah ditambahbaik dalam tiga aspek berikut:

a. Konsep penetapan PGK makanan yang diperkemaskan daripada ‘minimum’ kepada ‘optimum minimum’ iaitu dengan mengambil kira peningkatan kualiti item bakul makanan berdasarkan Piramid Makanan 2020 dan kumpulan makanan Panduan Diet Malaysia (PDM) 2020 selaras dengan aktiviti fizikal harian dan kehidupan yang sihat.

Sebagai contoh, susu pekat manis yang dimasukkan dalam bakul makanan sebelum ini telah ditukarkan kepada susu tepung yang lebih sihat.

b. Bagi PGK bukan makanan pula, keperluan kumpulan isi rumah berpendapatan 20% terendah (B20) yang dikenal pasti telah bertambah dari 106 kepada 146 item. Ini bermakna, 40 item yang dahulunya tidak dianggap sebagai keperluan asas kepada kumpulan B20, kini telah dimasukkan ke dalam senarai tersebut: dan

c. Perubahan corak perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa pada tahun 2019 berbanding tahun 2005.

Selain menggunakan PGK, katanya, kerajaan turut menggunakan beberapa kaedah lain dalam mengukur kemiskinan rakyat, salah satu daripadanya adalah dengan menggunakan kaedah pengukuran kemiskinan berasaskan pelbagai dimensi yang menekankan aspek-aspek peningkatan kualiti hidup seperti aspek kesihatan, pendidikan, perumahan, taraf hidup, akses kepada maklumat, dan juga pendapatan bulanan isi rumah.

”Usaha menambahbaik kaedah pengukuran kemiskinan ini adalah manifestasi kesungguhan, keprihatinan dan ketelusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

”Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial termasuk semakan semula kumpulan sasar di bawah seliaan dan tanggungjawab mereka dalam masa lima bulan akan datang,” katanya.

Mustapa berkata, berpandukan statistik yang tepat, kerajaan akan dapat menggubal dasar dan strategi serta merangka program yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin. Ini termasuklah dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan.

”Pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup rakyat akan sentiasa menjadi antara agenda utama negara. Justeru, usaha dan inisiatif kerajaan dalam mencapai matlamat ini akan sentiasa diperkukuh dan dilipatgandakan agar pembangunan negara akan dapat dirasai oleh setiap rakyatnya sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu