Kesesakan Trafik Diatasi
KUCHING: Kerja menaik taraf jalan bagi menyelesaikan kesesakan aliran trafik di Kota Samarahan akan bermula pada tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, kerja pembinaan akan bermula selepas kajian lalu lintas Expressway Samarahan yang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Januari nanti.
Menurutnya, kajian lalu lintas diperlukan untuk menentukan sama ada mahu menukar kesemua lima bulatan di kawasan berkenaan kepada persimpangan (dengan lampu isyarat) atau untuk membina jalan bawah yang rendah seperti di persimpangan Temenggong Abang Kipali Abang Akip di Matang.
Lima bulatan yang terlibat adalah Setia Raja-Samarahan, Stutong-Samarahan (pasar raya Giant), persimpangan ILP/LKIM, Pusat Jantung Sarawak-Samarahan dan UNIMAS-Samarahan.
Turut terlibat dalam cadangan naik taraf adalah jalan sepanjang 2 kilometer dari Stutong hingga ke bulatan Jalan Setia Raja-Samarahan, di mana jalan dan jambatan dinaik taraf menjadi dua lorong atau empat lorong.
Anggaran kos kerja menaik taraf adalah RM110 juta dan pembinaan dijangka selesai dalam masa satu atau dua tahun.
Bagaimanapun kos dan tempoh pembinaan akan sedikit lebih tinggi sekiranya pembinaan jalan bawah rendah dibina.
Masing, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata, kerajaan terutama kementeriannya perlu bergerak sekarang dan mengelakkan kesesakan aliran trafik di kawasan itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Kerja menaik taraf akan bermula dengan segera setelah selesai kajian. Kami tidak dapat melakukan kajian lalu lintas dalam dua bulan ini (November dan Disember) kerana sekarang musim cuti sekolah dan ia tidak menggambarkan pergerakan sebenar di sepanjang kawasan ini.
“Kajian lalu lintas akan dijalankan pada bulan Januari selama dua hingga tiga bulan apabila sesi sekolah bermula sekali lagi.
“Masalah kesesakan di Expressway Samarahan ini dibangkitkan setiap kali Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan pembangkang.
“Saya dan kementerian prihatin mengenai perkara ini dan saya pasti Ketua Menteri juga perihatin mengenai keperluan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan ini.
“Ia memang menelan kos tetapi kita perlu melakukannya, tiada pilihan kerana semakin ramai mempunyai kereta sekarang.
“Maka kita perlu menyelesaikannya sekarang atau masalah besar pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat daripada JKR Sarawak di sini, semalam.
Taklimat dikendalikan Timbalan Pengarah (infrastruktur) JKR Sarawak Chai Tse Jin dan Penolong Pengarah Jalan Chew Chee Yau dan turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Datu Safri Zainuddin.
Masing juga berkata kementeriannya kini sedang meneroka penyelesaian jangka panjang untuk membina sebuah jambatan menyeberangi Sungai Sarawak dari kompleks perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tanjong Bako di Samarahan.
Tegasnya, terdapat dua pilihan bagi jambatan berkenaan, sama ada ke Estet Perindustrian Bintawa yang berdekatan dengan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) atau ke Taman Perindustrian Demak.
Jalan yang sedia ada ke kompleks perikanan LKIM akan dicadangkan untuk dinaik taraf dan juga cadangan jalan baharu sebelum jambatan Batang Samarahan.
“Penyelesaian jangka panjang ini mungkin akan dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang untuk mempercepatkan pergerakan lalu lintas, seperti yang anda ketahui ramai orang yang tinggal di kawasan (Samarahan) kerana sebab yang jelas kerana kos (rumah) lebih murah dan setiap hari mereka pergi ke tempat kerja mereka di sini ( Kuching),” katanya.
Menjawab mengenai pelaksanaan transit aliran ringan (LRT) Masing berkata, LRT menghubungkan bandar Kuching dan Kota Samarahan dilaksanakan kemudian selepas kerja menaik taraf jalan raya.
“Apa yang kami tahu (naik taraf jalan) dilakukan terlebih dahulu, LRT kemudian,” katanya sambil menambah, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai LRT kerana ia bukan di bawah bidang kuasanya. - UB
Comments
Post a Comment