Rabies: Program Vaksinasi Di Tiga Kawasan Telang Usan


BARAM: Berikutan perisytiharan kampung Long Miri antara kawasan baru wabak rabies, Jabatan Perkhidmatan Veteriner Miri akan mengadakan program vaksinasi di tiga kawasan di Telang Usan.

Program diketuai pegawai veteriner Jok Luhat itu akan diadakan di Long Miri (21-22 Nov), Uma Bawang (23-24 Nov) dan Long Tepen (25 Nov).

Sehubungan itu, penduduk di kawasan kampung berhampiran digesa datang bersama anjing peliharaan untuk mendapatkan vaksin secara percuma.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini berkata, program vaksinasi rabies perlu dilaksanakan di kawasan Baram dengan segera sebagai langkah pencegahan.

“Walaupun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak kelmarin mengisytiharkan kampung Long Miri sebagai antara kawasan baru wabak Rabies, namun program vaksin itu perlu dilaksanakan di kawasan lain dan tidak semestinya di kawasan wabak sahaja.”

“Saya cadangkan program tersebut turut dilancarkan di Long Lama sebelum diperluaskan ke kampung-kampung lain di Baram,” katanya.

Dennis menasihatkan penduduk khususnya di Telang Usan agar mengawasi pergerakan anak-anak dan menjauhkan diri daripada berinteraksi dengan ejen pembawa bagi mengelak risiko serangan.

“Bagi pemilik pula, mereka perlu lebih peka kepada tahap kesihatan binatang peliharaan. Jika haiwan berkenaan didapati tidak sihat, bawa jalani pemeriksaan di klinik haiwan berhampiran dapatkan vaksin anti rabies sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Menurut Dennis, beliau sudah melahirkan kebimbangan mengenai jangkitan wabak rabies ini di kawasan Telang Usan sejak beberapa bulan lepas.

“Saya mengingatkan mereka yang terkena gigitan anjing mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik berhampiran dan tidak melengahkan rawatan kerana ia boleh mengancam nyawa,” kata Dennis.

Sementara itu, Dennis hari ini mengadakan lawatan kerja ke Long Kevok dan antara objektifnya bagi meningkatkan kesedaran secara berterusan mengenai wabak rabies di kawasan Telang Usan. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu

Disimbah menantu dengan air panas