RM17.7 Juta Bangun Semula Industri Kerbau: Uggah


LIMBANG: Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak membelanjakan RM17.7 juta bagi membangunkan kembali industri kerbau di Sarawak, sekali gus meningkatkan populasi kerbau khususnya di kawasan pengeluaran utama ternakan itu di Limbang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beberapa inisiatif sudah dikenal pasti untuk dilaksanakan termasuk Program Pembangunan Usahawan Kerbau dengan kos RM10 juta membabitkan 32 usahawan ternak kerbau terpilih.

Menurutnya, penternakan kerbau merupakan aktiviti perternakan yang paling popular di bahagian utara Sarawak terutama di kawasan Bario, Limbang dan Lawas yang berdepan trend penurunan daripada 11,000 ekor pada 2000 kepada 5,500 ekor pada 2018.

“Menyedari masalah itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk membaik pulih pagar bagi kesemua halaman di Limbang yang melibatkan 34 halaman kerbau.

“Program pembaikan pagar halaman kerbau yang rosak dapat mengurangkan kehilangan kerbau dan pencerobohan kerbau ke kawasan luar halaman kerbau akibat pagar halaman yang rosak,” katanya pada Perasmian Penyerahan Bantuan Membaik Pulih Pagar Halaman Kerbau Limbang 2017 di Dewan Kampung Bidang, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pertanian merangkap ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Ahmad Denney Ahmad Pauzi dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Adrian Susin Ambud.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, ini adalah pendekatan utama kerajaan dalam menstrukturkan halaman kerbau bagi mengurangkan kejadian kerbau berkeliaran dan kecurian yang menjadi punca utama penurunan populasi kerbau di Limbang.

Jelasnya penternak yang layak akan dibantu dengan geran sebanyak RM50,000 untuk pembangunan kandang kerbau, pembangunan rumput fodder, pagar halaman serta mesin pemotong rumput fodder pada program itu.

“Setiap peserta juga dibantu dengan kerbau pembiak baka secara Pawah sehingga 26 ekor kerbau (satu jantan dan 25 betina).

“Sehingga kini, 32 penternak kerbau telah dibangunkan melalui program ini dan sebanyak 529 ekor kerbau (50 jantan dan 479 betina),” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut menggunakan teknologi terkini dalam pembiakan kerbau iaitu melalui permanian beradas dan pemindahan embrio.

“Teknologi-teknologi ini dapat meningkatkan kadar pengeluaran kerbau dan terbukti berkesan di negara-negara seperti di Thailand, Filipina dan Indonesia.

“Dengan harapan inisiatif ini dapat meningkatkan kadar sara diri daging lembu/kerbau daripada sepuluh peratus sekarang kepada 50 peratus menjelang 2030, sekali gus mengurangkan defisit makanan negeri yang mencecah RM3.27 bilion pada 2016,” tambahnya.

Beliau mahu penternak kerbau di Limbang mengambil peluang itu untuk memajukan industri kerbau memandangkan ia mempunyai pasaran luas di negara Brunei Darussalam dengan nilai eksport dianggarkan RM35.3 juta mulai 2010 hingga tahun lepas. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas