Tubuh Jawatankuasa Jaga Keselamatan Rumah Panjang
KUCHING: Rumah panjang di Sarawak digalak menubuhkan jawatankuasa khas bagi menjaga aspek keselamatan rumah panjang masing-masing.
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, jawatankuasa khas itu berperanan mengaudit dan memeriksa penggunaan tenaga elektrik di rumah panjang masing-masing.
Beliau berkata, pengauditan dan pemeriksaan penggunaan tenaga elektrik di rumah panjang perlu dilakukan secara berkala bagi memasti-kan penghuni sentiasa dalam keadaan selamat daripada insiden kebakaran.
“Selain itu, setiap rumah panjang harus memastikan pendawaian elektrik dilakukan kontraktor elektrik yang berkelayakan.
“Penggunaan elektrik berlebihan salah satu daripada punca utama berlakunya kebakaran di rumah panjang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata, kejadian kebakaran melibatkan rumah panjang di Sarawak agak membimbangkan dengan keba-nyakan rumah hangus 100 peratus.
Keadaan itu, tambahnya, menyebabkan ramai penduduk hilang tempat tinggal dan mengalami kerugian harta benda.
Justeru beliau mengingatkan penduduk rumah panjang khasnya agar lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik dan gas semasa memasak terutama ketika musim perayaan.
“Krismas bakal menjelang, saya berharap penduduk rumah panjang khasnya sentiasa berhati-hati ketika mengendalikan alat-alat elektrik dan gas ketika memasak dan sebagainya,” tambah beliau.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata, sejak Januari 2018 hingga 25 November 2018, 24 rumah panjang di seluruh Sarawak musnah akibat kebakaran.
Bagi November sahaja, tiga rumah panjang musnah akibat kebakaran iaitu Uma Bakung, Sungai Asap, Belaga (19 November), Rumah Usek, Sungai Keriok, Niah, Miri (24 November) dan Rumah Ugin Anak Ungian, Nanga Melayong, Sungai Merurun, Julau (25 November).
Beliau berkata, JBPM Sarawak sedang menganalisis kes-kes kebakaran rumah panjang di negeri ini bagi mengenal pasti trend kejadian dan kawasan.
“Secara umumnya kebakaran melibatkan rumah panjang berlaku disebabkan risiko dan tingkah laku penghuni itu sendiri. Ia melibatkan tiga elemen iaitu lupa, leka dan lalai, dalam hal ini perubahan ‘mindset’ amat perlu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, JBPM Sarawak dalam usaha melatih komuniti setempat menjadi barisan pertama pertahanan apabila berlaku kebakaran.
“Ini kerana kebakaran melibatkan rumah panjang atau kawasan luar bandar sebenarnya bermula dengan api yang kecil tetapi disebabkan halangan, ia menjadi kebakaran besar kerana JBPM memerlukan masa untuk memberi maklum balas.
“Faktor utama kepada masalah ini ialah cabaran geografi ditambah komuniti setempat tidak dilatih atau tiada peralatan asas untuk memadam api,” jelasnya. - UB
Comments
Post a Comment