Rebat Elektrik RM40 Perlukan Kajian Menyeluruh


KUCHING: Kajian menyeluruh perlu dijalankan oleh kementerian-kementerian persekutuan berkaitan untuk menangani kesan pelaksanaan rebat elektrik RM40 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, dasar baharu terbabit yang akan menggantikan rebat penggunaan sedia ada sebanyak RM20, mungkin akan memberi kesan kepada pengguna daripada kumpulan berpendapatan rendah.

“Mereka yang layak mempunyai pendapatan isi rumah bulanan RM950 dan ke bawah dan berdaftar di bawah program e-Kasih persekutuan.

“Ini akan memberi kesan kepada kumpulan pengguna berpendapatan rendah yang terus memerlukan bantuan tetapi mungkin tidak berdaftar di bawah e-Kasih.

“Oleh itu, kajian menyeluruh harus dilakukan kementerian-kementerian persekutuan berkaitan untuk menangani jurang ini kerana ia memberi kesan kepada seluruh negara tidak hanya di Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar semalam.

Dr Rundi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen pada Khamis bahawa Kerajaan Sarawak seharusnya terus melengkapkan dasar rebat penggunaan elektrik RM40 kerajaan persekutuan.

Menurut Dr Rundi, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap Chong akan memainkan peranannya menjaga nasib kumpulan B40 yang terjejas di seluruh negara yang mungkin tidak memenuhi kriteria e-Kasih.

Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memantau pelaksanaan program rebat baharu itu dan impaknya di Sarawak kepada kumpulan B40 yang mungkin memerlukan bantuan.

Mengenai rebat untuk penggunaan elektrik sekarang iaitu RM20 dan ke bawah, Dr Rundi berkata, ia merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Persekutuan (KETTHA) pada Oktober 2008.

Menurutnya di bawah program itu, kerajaan memberi subsidi bil elektrik untuk golongan berpendapatan rendah yang biasanya kurang menggunakan elektrik sebagai keperluan asas mereka.

“Ini dilaksanakan di seluruh negara di mana mekanisme bagi utiliti negeri yang berkaitan adalah melalui pembayaran balik langsung daripada KETTHA.

“Sejak diperkenalkan pada 2008, kerajaan persekutuan selalu memberi subsidi kepada program ini melalui mekanisme pembayaran langsung.

“Bagi pelaksanaan di negeri ini, SEB mengecualikan pembayaran bil elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah. Ini kemudiannya dikemukakan untuk pembayaran balik oleh SEB kepada kerajaan persekutuan, kini melalui Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC),” jelasnya.

Beliau menambah, bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem pada November 2014 mengumumkan kerajaan Sarawak akan mengurangkan tarif elektrik domestik bermula Januari 2015 bagi memastikan lebih ramai rakyat Sarawak mendapat manfaat rebat RM20 diperkenalkan kerajaan persekutuan ketika itu. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas