Terjunam Di Bukit Begunan



KUCHING: Seorang pemuda maut manakala dua lagi cedera parah selepas lori kargo yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 44 Jalan Sri Aman-Serian di kawasan Bukit Begunan, Sri Aman tengah malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Firdaus Jamuri, 27, berasal dari Taman Puchong Intan, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik dari Hospital Sri Aman.

Dedahnya, dua mangsa yang cedera parah masing-masing pemandu lori terbabit, 33, dan seorang lagi kelindan berusia 25 tahun.

“Pada 29 Disember sekitar jam 12.45 tengah malam, sebuah lori kargo yang sedang menuruni Bukit Begunan menuju ke Sri Aman tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan jatuh ke dalam gaung.

“Akibat kemalangan tersebut, seorang kelindan lori maut di tempat kejadian yang disahkan paramedik Hospital Sri Aman, manakala pemandu dan seorang lagi kelindan cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambah Alexson lagi, kemalangan itu turut mengakibatkan lori kargo berkenaan remuk teruk di keseluruhan bahagian dan terputus dua antara bahagian badan dan kepala.

“Kes masih disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Sementara itu, jurucakap bomba memberitahu, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.48 tengah malam dan pasukan dari Balai Sri Aman tiba di lokasi kejadian pada jam 1.32 pagi kerana jarak balai terdekat dengan lokasi kejadian adalah 37 kilometer.

“Setibanya di lokasi yang dilaporkan, tiga mangsa didapati berada di atas jalan raya yang mana dua daripadanya cedera dan seorang terbaring berlumuran darah dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa dengan memasang ‘C-collar’ dan salah seorang mangsa dipasang dengan KED dan ‘traction splint.’

“Pasukan paramedik Hospital Sri Aman yang tiba di lokasi kejadian segera memeriksa mangsa yang tidak sedarkan diri dan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sri Aman menggunakan jentera EMRS, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk urusan penghantaran ke hospital,” jelasnya.

Selain itu, di lokasi yang sama, sebuah bas penumpang hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang.

Ekoran itu, pasukan bomba segera mengeluarkan penumpang seramai 39 orang iaitu 21 lelaki dan 18 wanita serta dua pemandu yang mana kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba turut membuat pembersihan permukaan jalan dengan semburan jet salur bantu mula air daripada tangki.

“Pasukan bomba dengan jentera turut menunggu bersama penumpang untuk meneruskan perjalanan dengan bas ganti,” kata jurucakap bomba.

Setelah bas ganti tiba dan penumpang yang terkandas dipindahkan, pihak bomba menamatkan operasi.

Bantuan agensi lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan paramedik Hospital Sri Aman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan ERT Naim-Gamuda. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu