Dituduh Curi Buku, Budak 10 Tahun Patah Gigi Diserang Penyelia Pasar Raya
SIBU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cedera di bahagian muka, bahu dan tangan selepas diserang oleh seorang penyelia pasar raya di Jalan Chew Siik Hiong di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit (gambar) berkata, kejadian sekitar 5.30 petang itu berpunca apabila mangsa disyaki mencuri mencuri buku mewarna di pasar raya tersebut.
Katanya, seorang pekerja wanita yang melihat perbuatan itu kemudian membawa kanak-kanak tersebut berjumpa dengan lelaki, 22 tahun, sebelum meninggalkan mereka berdua.
Ketika berada di stor katanya, mangsa diarahkan untuk menyapu bilik stor dan cuba diikat agar tidak keluar dari bilik tersebut serta dicederakan.
"Mangsa mengalami patah gigi kerana ditampar menggunakan tangan, lebam di tepi mata sebelah kiri kerana dihentak ke dinding, merah dan lebam di atas bahu kiri akibat dipukul menggunakan penyangkut baju besi, serta sakit di tangan kiri akibat dipulas," kata dalam satu kenyataan pada malam Selasa.
Menurut Stanley, mangsa hanya dilepaskan oleh suspek sekitar 7 malam dan terus pulang ke rumah dalam keadaan menangis sebelum mengadu kepada ahli keluarga.
Difahamkan, mangsa yang bersekolah di sebuah sekolah swasta tinggal bersama neneknya.
Menurut Stanley, pihak polis yang menjalankan siasatan selepas menerima laporan sekitar pukul 10 malam pada hari kejadian, menjumpai kesan darah disyaki milik mangsa di tempat kejadian.
"Suspek lelaki ditangkap di tempat kerja sekitar pukul 2 petang Selasa dan akan direman untuk tindakan dan siastaan lanjut," katanya.
Kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah. - UB
Comments
Post a Comment