Jalan Hubungkan Tekajong, Salah Kecil, Penuai Siap Tahun Depan


PULAU BRUIT: Projek jalan pesisir sepanjang 16.1 kilometer menghubungkan Kampung Tekajong, Kampung Salah Kecil dan Kampung Penuai dengan kos hampir RM19.3 juta dijangka siap sepenuhnya Mei 2020.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, projek fasa pertama dan kedua  yang bermula pada Mei 2018 itu, kini sedang giat dijalankan dan bakal memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.

“Fasa pertama iaitu dari Kampung Tekajong ke Kampung Salah Kecil melibatkan pembinaan jalan sejauh 8.2 kilometer dan fasa kedua dari Kampung Salah Kecil ke Kampung Penuai sejauh 7.9 kilometer.

“Selepas siap kelak, semua penduduk di kawasan terbabit akan menikmati kemudahan jalan berturap, sekali gus memudah dan memendekkan masa perjalanan ke pangkalan feri Batang Paloh.

“Justeru, saya memohon semua penduduk agar bersabar menunggu siapnya projek tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja melihat perkembangan projek tersebut di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abdul Wahab.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata, projek menaik taraf jalan sepanjang 10 kilometer dari simpang masuk Sungai Nai ke pembetung akan dijalankan selepas projek fasa pertama dan kedua tersebut siap.

“Kita tidak dapat melaksanakan projek menaik taraf jalan dari simpang masuk Sungai Nai ke Kampung Penuai kerana laluan jalan ini kini sedang digunakan untuk membangunkan projek fasa pertama dan kedua.

“Manakala jalan sejauh satu kilometer dari pembetung ke Kampung Penuai dibina melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan kita akan mencari dana peruntukan kerajaan negeri untuk menaik tarafnya,” ujarnya.

Julaihi juga berkata, projek pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa kini telah ditender, di mana Jambatan Muara Lassa dalam proses penilaian kontraktor yang layak.

“Kerajaan Sarawak cuba menghubungkan semua jalan di luar bandar dan jalan pesisir, di mana kita bina jalan, bina jambatan dan naik taraf jalan raya.

“Jambatan Batang Paloh akan menjadi jambatan kedua terpanjang di Sarawak apabila ia siap kelak selepas Jambatan Batang Lupar,” ujarnya.

Menurutnya, semua projek pembinaan jambatan jalan pesisir di Sarawak yang ditangguhkan kerajaan pusat diteruskan kerajaan negeri dengan peruntukan sendiri.

“Semua ini adalah usaha Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” tegasnya.

Julaihi turut menyeru kepada penduduk setempat agar tidak mudah percaya dengan maklumat yang kurang tepat di laman sosial mengenai projek kerajaan negeri.

“Saya berharap semua ketua kampung yang hadir hari ini untuk bersama-sama berkongsi maklumat yang sahih mengenai projek sebagaimana yang telah diterangkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.

“Ini terutamanya mereka yang telah berhijrah ke bandar dan hanya melihat maklumat yang tidak sahih di laman sosial mengenai kampung mereka,” ujar beliau.

Katany, penduduk kampung yang ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai projek pembangunan di kawasan mereka boleh berhubung terus dengan agensi kerajaan berkaitan. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas