Peruntukan Terbesar Pastikan Rakyat Menikmati Infrastruktur


MIRI: Kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) terpaksa mengambil langkah berani dengan memperuntukkan belanjawan terbesar dalam sejarahnya iaitu RM11 bilion demi memastikan penduduk di kawasan luar bandar tidak terpinggir daripada pembangunan terutama kemudahan infrastruktur.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, belanjawan besar itu juga bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan kerana didorong hasrat mahu memenuhi aspirasi dan harapan rakyat berikutan pengurangan peruntukan oleh kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, malah GPS yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg membuat keputusan untuk mengambil alih lebih banyak projek persekutuan yang dibatalkan oleh kerajaan pusat walaupun telah mendapat kelulusan awal kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk Sarawak.

Awang Tengah berkata, keputusan berani dibuat demi kepentingan rakyat terutama penduduk luar bandar yang menantikan bekalan air luar bandar dan bekalan elektrik.

Ketua Menteri katanya, memperuntukkan RM2.8 bilion untuk program bekalan air luar bandar dan RM2.3 bilion untuk infrastruktur dan kemudahan luar bandar bagi tahun ini, melebihi keseluruhan peruntukan kira-kira RM4 bilion untuk Sarawak daripada kerajaan persekutuan.

“Peruntukan kerajaan persekutuan sebanyak RM4 bilion termasuk projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah diluluskan dan dilaksanakan kerajaan persekutuan sebelum ini semasa era pentadbiran Ketua Menteri sebelumnya Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan),” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Bagi Bahagian Miri di pejabat Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri di sini, semalam.

Awang Tengah menegaskan, banyak projek infrastruktur yang telah diluluskan sebelum ini dibatalkan termasuk Jambatan Kemena di Bintulu, memaksa Kerajaan Sarawak membuat keputusan berani demi kepentingan rakyat yang mengharapkan manfaat daripada projek pembangunan tersebut.

Bagi memantapkan lagi pembangunan di setiap kawasan, Ahli Dewan Undangan Negeri juga diperuntukkan RM8 juta masing-masing bagi projek pembangunan kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM2 juta, Projek Transformasi Luar Bandar (RM5 juta) dan pembaikan serta pemulihan rumah (RM1 juta) dan tahun ini, Ahli Parlimen (GPS) turut diperuntukkan dana.

Sehubungan itu, Awang Tengah menggesa rakyat Sarawak untuk berdiri teguh di belakang GPS yang berorientasikan rakyat dan gabungan parti-parti tempatan yang lebih memahami harapan dan aspirasi rakyat di Sarawak serta keperluan mereka, berbanding parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia yang menggunakan wakil-wakil tempatan.

Beliau berkata, pampasan tanah berjumlah RM32 juta bagi sembilan projek infrastruktur dan kemudahan awam bagi bahagian ini salah satu manifestasi dan arah tuju kerajaan GPS yang berorientasikan pembangunan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Manakala pampasan yang diberi adalah berdasarkan harga pasaran semasa pemberitahuan untuk pengambilan tanah mereka.

Turut hadir Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting dan Residen Bahagian Miri Mataip Sayu, Pengarah JTS Zaidi Mahdi serta Timbalannya Abdullah Julaihi, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri Arni Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin masyarakat. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas