Subsidi Tiket Kapal Terbang Pelajar Sarawak, Bukan Didesak DAP - Fazzrudin


KUCHING: Pemberian subsidi untuk membeli tiket kapal terbang kepada pelajar institusi pengajian tinggi balik ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan ketika musim perayaan bukan diwujud atau ditunaikan atas desakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.

Menegaskan perkara itu, Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman berkata beliau tidak terkejut apabila DAP Sarawak menerusi media sosial mendakwa pemberian RM300 kepada setiap pelajar yang layak ditunaikan atas desakan mereka.

"Saya tidak terkejut mendengar perkara tersebut kerana sudah menjadi budaya mereka untuk mendakwa apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah disebabkan desakan mereka," katanya kepada Utusan Borneo, hari ini.

Adalah lebih elok DAP menunaikan janji mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 berbanding sekadar mengakui perkara yang sememangnya dilakukan kerajaan Sarawak.

"Setelah mereka tunaikan janji tersebut, dakwalah seberapa (banyak yang) mereka mahu," tegasnya.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menjelaskan lagi, subsidi ini dikemukakan beliau sendiri dan Ahli-ahli Parlimen Sarawak daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak tahun lepas.

"Kerajaan Sarawak tidak perlu tunduk terhadap desakan DAP untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Masyarakat boleh menilai sendiri," katanya.

GPS jelas beliau tidak mengamalkan budaya menempa nama atas usaha orang lain.

"Sebagai contoh baru-baru ini Ketua Menteri kita pun mengaku tidak mahu menempa nama atas jalan Telok Melano.

"Yang kita rangka dan janji, kita laksana untuk rakyat. Kalau ia usaha pihak lain, kita akan memberi penghargaan kepada yang sepatutnya.

"Dalam kes ini (subsidi tiket kapal terbang), Ketua Menterilah yang melaksanakannya demi pelajar kita," ujarnya.

Fazzrudin yang juga Penasihat Sarawak Volunteers menerusi satu kenyataan pada Rabu berkata Inisiatif Graduan Pulang Sarawak 2019 diluluskan Abang Johari pada sesi Town Hall Lan Berambeh Anak Sarawak 2018 di Kuala Lumpur.

Pada acara itu, para pelajar institusi pengajian tinggi dari Sarawak memohon subsidi tiket kapal terbang untuk balik ke Sarawak semasa musim perayaan.

"Ketua Menteri telah meluluskan inisiatif bagi meringankan beban pelajar-pelajar Sarawak untuk membeli tiket penerbangan balik bermula dari musim perayaan Tahun Baru Cina 2019," katanya.

Setiap pelajar layak memohon subsidi ini dua kali sahaja setahun.

Pemohon perlu mengemukakan bukti pembelian tiket penerbangan, dokumen akses memasuki pesawat (boarding pass) dan surat pengesahan sebagai pelajar institusi pengajian tinggi.

Laman Facebook DAP Sarawak semalam mengongsi catatan Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong yang mendakwa kerajaan Sarawak berasa tertekan dengan desakan beliau agar menunaikan janji berhubung pemberian subsidi tiket kapal terbang.

Pada 28 Januari, laman Facebook DAP Sarawak menulis kapysen atas perkongsian catatan David:

"Abang Jo, di mana penerbangan khas untuk warga Sarawak balik ketika Tahun Baru Cina? Tahun Baru Cina cuma seminggu sahaja lagi dan pelajar-pelajar Sarawak kini menunggu janji anda (Ketua Menteri) ditunaikan". - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu