Kerajaan Sedia Guna Semua Saluran Bawa Pulang Anak Sarawak


SIEM REAP, Kemboja: Kerajaan Sarawak bersedia untuk menggunakan semua saluran yang ada bagi membantu membawa pulang 40 anak Sarawak yang ditahan di penjara di negara tersebut.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dato Sri Fatimah Abdullah kepada pemberita semasa mengetuai delegasi kerajaan Sarawak melawat tahanan rakyat Malaysia di Penjara Provinsi Banteay MeanChey, Poipet, barat Kemboja semalam.

Kesemua anak Sarawak itu merupakan antara 47 rakyat Malaysia yang ditahan di bandar Poipet pada 11 Disember tahun lalu atas tuduhan terlibat dengan aktiviti perjudian haram dalam talian.  

Beliau berjanji bahawa kerajaan negeri akan menyediakan sumber yang diperlukan jika anak Sarawak yang ditahan memerlukan sebarang bentuk bantuan termasuk dari segi undang-undang.

“Kerajaan Sarawak bersedia membantu tahanan termasuk menanggung kos perundangan mengikut undang-undang tempatan.

“Kita juga sentiasa memberi maklum balas mengenai keadaan semasa kesemua tahanan dan menyediakan kaunselor sebagai sokongan psikologi,” katanya.

Menurut Fatimah, polis Kemboja sedang meneliti kes melibatkan tahanan yang didakwa terlibat dalam aktiviti perjudian haram dalam talian.

Tambahnya lagi, terdapat prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi.

“Kita bekerjasama dengan kerajaan Kemboja dalam isu ini.

“Seperti apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberitahu, kita harus menggunakan prosedur undang-undang yang sewajarnya dalam menjalankan urusan ini,” jelasnya.

Fatimah berharap agar pihaknya dapat mendengar perkhabaran yang baik berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat ini terutamanya tentang pembebasan kesemua tahanan terbabit.

Delegasi kerajaan Sarawak turut disertai Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Deddy Faisal Ahmad dan pegawai kementeriannya.

Dalam lawatan itu, Fatimah bersama delegasi kerajaan Sarawak dibawa ke dua rumah mewah tiga tingkat yang merupakan antara lokasi lawatan di Poipet, Banteay Mancheay di Kemboja.

Kedua-dua rumah terbabit difahamkan tempat 47 rakyat Malaysia ‘dikurung’ sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa sejurus mereka tiba secara berperingkat Oktober tahun lalu selepas dijanjikan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di negara berkenaan.

Kemudian, delegasi yang diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Ruzaimi Mohamad mengadakan pertemuan bersama kumpulan tahanan terbabit di Penjara Wilayah Banteay Mancheay.

Difahamkan, delegasi mengadakan pertemuan itu kira-kira sejam bersama rakyat Malaysia yang ditahan di situ untuk melihat keadaan kesemua mangsa.

Selain itu, Delegasi Sarawak juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Muslim Kemboja Othman Hassan, selain menemui wakil Kementerian Hal Ehwal Luar, Kerjasama Antarabangsa Kemboja dan pegawai kedutaan Malaysia di Kemboja. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas