Premis Makanan Di Pusat Jantung Sarawak Diarah Tutup Sementara
KUCHING: Penemuan najis tikus di ruang dapur premis menjadi punca sebuah premis makanan di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan ditutup sementara.
Perkara itu didedahkan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim ketika mengulas tentang penutupan premis makanan berkenaan yang arahkan tutup selama 14 hari bermula 13 Februari lalu.
Katanya, penutupan ini adalah susulan dari Operasi Pemeriksaan Premis Makanan Bersih yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Samarahan.
"Jabatan Kesihatan Sarawak ingin memaklumkan tindakan penutupan sementara premis makanan di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan yang diambil oleh PKB Samarahan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 pada 13 Februari 2019.
"Hasil pemeriksaan melalui operasi tersebut, PKB Samarahan menemui najis tikus di ruang dapur premis berkenaan yang menunjukkan kehadiran makhluk perosak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Jamilah menegaskan, premis tersebut juga dikenakan kompaun bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983.
"Jika pemeriksaan semula oleh PKB Samarahan mendapati tahap kebersihan adalah memuaskan, maka premis akan dibenarkan beroperasi semula," jelasnya.
Menurutnya lagi, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu kebersihan dan keselamatan makanan boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Bahagian/Daerah yang terdekat.
"Pengguna juga boleh membuat aduan berkaitan di laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak iaitu https://www.facebook.com/bkkmsarawak/," ujarnya. - UB
Comments
Post a Comment