Warga Sarawak Ditahan Di Kemboja Tiba Di Kuching Esok
KUCHING: Warga Sarawak yang dibebaskan dari penjara wilayah Banteay Meanchey, Kemboja pada petang Jumaat dijangka balik pada Ahad.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata 28 orang daripada 47 mereka dijangka balik esok.
"Pelan A esok kira-kira 28 orang (bergantung dengan kekosongan tempat duduk). Penerbangan ke Kuching pada pukul 3.30 petang.
"Pelan B pula, kita akan atur pagi ini," katanya kepada Utusan Borneo hari ini.
Fatimah mewakili kerajaan Sarawak berada di Kemboja bersama Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sejak 14 Februari.
Ahli Parlimen Julau Larry Sng juga memberitahu proses membawa balik mereka sedang giat diusahakan.
"Ahad jika mengikut perancangan," katanya ketika disoal bila warga Malaysia itu dapat balik.
Sementara itu, Fatimah merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan misi pembebasan tahanan yang dikatakan menjadi mangsa penipuan pekerjaan.
Seramai 40 warga Sarawak, tiga Sabah dan empat Semenanjung Malaysia ditahan di penjara di Kemboja sejak Disember 2018.
Mereka ditangkap pihak berkuasa Kemboja kerana menjalankan aktiviti perjudian dalam talian tanpa permit.
Penangkapan mereka didedahkan kepada media oleh Larry pada 7 Februari.
Larry turut melawat tahanan di Penjara Banteay MeanChey pada Rabu.
Semalam, BERNAMA melaporkan Wisma Putra dalam proses membawa pulang warga Malaysia terbabit.
Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata beliau difahamkan pihak Wisma Putra sedang dalam perjalanan ke Banteay Meanchey bagi menguruskan proses dokumentasi kesemua tahanan berkenaan supaya mereka dapat pulang secepat mungkin.
Beliau berkata kesemua tahanan berada di pekan Banteay Meanchey dan disajikan dengan sup nasi istimewa Kemboja di sebuah restoran.
"Mereka amat gembira malam ini dan berterima kasih kepada pihak yang berusaha membebaskan mereka. Ini makanan paling istimewa mereka rasa sejak ditahan dan masing-masing tidak sabar untuk berjumpa keluarga.
"Kita masih menunggu ketibaan pihak Wisma Putra untuk menguruskan proses membawa pulang mereka secepat mungkin. Mereka akan ditempatkan di sebuah hotel malam ini sebelum dibawa pulang ke Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Mustapha yang pernah menetap di Kemboja selama 20 tahun berterima kasih kepada kerajaan Kemboja terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan yang banyak membantu dalam membebaskan kesemua tahanan berkenaan.
"Saya menggunakan pengalaman saya ketika berada di sini (Kemboja) untuk membantu mereka, niat saya ikhlas," katanya.
Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan itu dibebaskan lewat petang Jumaat, selepas beberapa perundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.
Keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan tersebut ditipu sindiket ejen pekerjaan. - UB
Comments
Post a Comment