Pelan Induk Pembangunan lebih RM500 juta bagi Marudi


MARUDI: Pelan Induk Pembangunan bagi N.76 Marudi melibatkan projek pembangunan jalan raya, bekalan elektrik, air terawat, penyambungan Internet, pertanian moden dan pendidikan dengan nilai lebih RM500 juta.

“Sebelum ini terdapat peruntukan bagi jalan raya tetapi ia tidak mencukupi.

“Kita (kerajaan negeri) telah mendapat banyak wang dari MARRIS (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya) dan menerusi dana khas ditambah yang akan dimaklumkan Ketua Menteri,” kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil dalam temu bual eksklusif bersama The Borneo Post di Lapangan Terbang Marudi, semalam.

Penguang menegaskan banyak kerja perlu dilakukan untuk memastikan rakyat di luar bandar konstituensi mendapat bekalan elektrik dari grid utama atau alternatif sumber kuasa.

“Bekalan elektrik (misalnya) masih banyak perlu dilakukan, saya telah mengemukakan pelan induk saya kepada beliau (ketua menteri), secara berperingkat-peringkat menjelang 2019 dan 2020, SARES (Skim Elektrik Luar Bandar Sarawak) dan grid.

“Begitu juga bekalan air terawat dan Jika semua yang saya kemukakan itu dilaksanakan, ia akan meliputi bukanlah 100 peratus tetapi kebanyakan kawasan akan dibekalkan dengan bekalan air terawat,” tegasnya.

Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi percaya generasi muda di konstituensi itu perlu mengakses dan disambung dengan Internet, malah pembelajaran dalam bilik darjah pada abad ke-21 mesti setanding pelajar di bandar.

“Penyambungan ICT, jika kamu pergi ke kawasan saya, banyak ‘blindspot’ di mana kamu tidak boleh membuat panggilan, apa lagi melayari Internet.

“Sudah tentu pendidikan menjadi keutamaan, sebab itulah saya membawa Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) ke SMK Tinjar di Lapok untuk mempunyai pandangan pertama apa perlu dilakukan,” katanya.

Penguang berkata, beliau juga telah diarahkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai bagi pelabur membuka taman pertanian di Marudi.

“Sudah tentu pertanian juga sangat penting dan saya telah diarah mengenal pasti bebe-rapa taman pertanian di mana pelabur menanam pelbagai jenis tanaman,” katanya.

Penguang juga sangat bangga mengumumkan terdapat lebih 300 rumah panjang di kawasannya sejak tiga tahun beliau menjadi wakil rakyat Marudi.

“Saya melawat mereka untuk mengetahui keperluan mereka dan ada masanya kita mungkin mempunyai persepsi salah, saya berikan kamu sejumlah wang untuk membina jalan tetapi mereka mungkin tidak memerlukan jalan.

“Sebagai contoh, penduduk Penan, apa yang paling mereka perlukan ialah tempat berteduh,” katanya.

Beliau berkata, antara projek skala besar berimpak tinggi dilaksanakan setakat ini ialah jambatan menyeberangi Sungai Baram iaitu Jambatan Marudi yang bernilai RM75 juta, tebingan sungai (RM23 juta), perlindungan cerun (RM3.7 juta), Fort Hose (RM2.1 juta), Jalan Long Terawan Marudi (RM43 juta) dan penyambungan Jambatan Sungai Arang (RM22 juta) dan lima lagi jambatan bailey sepanjang jalan Miri ke Marudi (RM14.7 juta) dan fasa satu estet perindustrian mini (RM11 juta).

Kesemua projek berkenaan telah siap dibina dan mula memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Penguang menegaskan semua itu dicapai hasil sokongan penuh daripada kepimpinan Sarawak serta kerja sama rapat dalam kalangan penduduk di Marudi.

“Sejak dua tahun lalu, pada 2018 saya telah membina lima dewan sekolah, 2019 saya akan membina lima lagi termasuk dua untuk rumah panjang.

“Saya telah memaklumkan mereka (penduduk) jika dalam tempoh dua tahun saya boleh membina 10, dalam lima tahun berapa banyak, 25?” tambahnya.

Bagi Beluru pula, Penguang berkata, mereka merancang membina stadium mini yang bernilai kira-kira RM15 juta, selain RM5 juta untuk pusat pentadbiran baharu di Beluru.

Beliau menambah, sebuah dewan masyarakat yang bernilai RM4.5 juta berserta RM5 juta untuk pusat pentadbiran baharu akan dibina di Lapok.

Penguang mengakui isu terbesar di konstituensinya adalah tanah Hak Adat Bumiputera terutama pajakan sementara yang kontroversi.

“Kami akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang saya panggil Jawatankuasa Khas Pembangunan Tanah Adat N76.

“Asasnya untuk mewujudkan pangkalan data berapa banyak rumah panjang telah memohon untuk ukur perimeter, di mana mereka sekarang, sama ada bersama Jabatan Tanah dan Survei Miri atau dikemukakan kepada ibu pejabat.

“Peranan lain (jawatankuasa itu) akan membantu penduduk rumah panjang memohon untuk ukur keliling tanah-tanah NCR dan Pemakai Menua dan Pulau Galau berdasarkan pindaan baharu Kanun Tanah Negeri 2018,” tambahnya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas