Pembinaan benteng laut diyakini dapat atasi masalah kemasukan air masin


KUCHING: Masalah kemasukan air masin ke beberapa kawasan di Parlimen Kota Samarahan diyakini dapat diatasi dengan pembinaan benteng laut yang bermula dari Sebangan hingga Sebuyau.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, pembinaan benteng laut itu antara komponen utama pembangunan fizikal yang dirancang di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

Beliau berkata penubuhan IRSDA yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patingi Abang Johari Tun Openg tahun lalu telah diluluskan dengan dana permulaan RM700 juta untuk tahun ini.

Katanya dana permulaan itu merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM1.5 bilion bagi IRSDA dan antara fokusnya ialah pembinaan benteng laut yang lebih tahan lasak.

Beliau berkata ketika ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sedang membuat reka bentuk benteng laut yang bakal dibina di kawasan-kawasan dikenal pasti.

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata masalah kemasukan air masin sekali dengan hakisan pantai banyak berlaku di kawasan pesisir pantai terutama di Sebuyau, Asajaya dan Sadong Jaya.

“Bukannya kita tidak pernah mengambil tindakan sebelum ini, sebenarnya sejarah di (Kota) Samarahan,  Sebuyau misalnya benteng laut atau ban telah dibina sekitar tahun 1990-an.

“Ketika itu saya sangat gembira, kerana dengan siapnya benteng itu kawasan saya selamat daripada kemasukan air masin. Tanah subur untuk pelbagai jenis tanaman kontan.

“Bagaimanapun disebabkan terlalu lama dan kurangnya penyelenggaraan benteng laut itu mula mengalami kebocoran menyebabkan kemasukan semula air masin dan masalah lebih ketara apabila berlaku air pasang setinggi 6 hingga 6.4 meter,” katanya.

Tambahnya situasi itu tidak hanya mengundang masalah kepada kawasan kampung tetapi tanah-tanah pertanian.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana meluluskan peruntukan ini yang akan menjadi penyelesaian kepada masalah kemasukan air masin di Sebuyau khasnya.

“Inilah usaha yang dilakukan kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak). Maknanya kita sedar dan tahu keperluan penduduk luar bandar. Kita adalah kerajaan yang berorientasikan rakyat, kerajaan yang sedaya upaya menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas