Pembinaan jalan raya akan tertumpu di RECODA


KUCHING: Sarawak akan membina lebih banyak jalan dalam tempoh tiga hingga enam tahun akan datang terutamanya di tiga kawasan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata selain itu liga lapangan terbang akan dibina dalam tempoh sama iaitu di Tunoh, (Kapit), Spaoh (Betong) dan Lawas.

"Dalam tempoh tiga hingga enam tahun akan datang kita akan membina banyak jalan selain Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Utama Kedua (2TR) yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Pembinaan jalan-jalan ini termasuk lapangan terbang akan dibina di kawasan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar mengenai Teknologi Jalan Raya dan Tenaga Kerja Ternikal di Sarawak, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu sudah tentu Sarawak memerlukan teknologi terkini dan jurutera serta pekerja teknikal yang berkemahiran tinggi.

Menurutnya jurutera dan pekerja teknikal tidak hanya perlu membina jalan yang baik serta sesuai dengan keadaan tanah di Sarawak khususnya tanah gambut tetapi memastikan ia diselenggara dengan baik.

"Taniah kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak kerana menganjurkan seminar ini  dan saya percaya banyak input serta pendekatan bagaimana pembina jalan di tanah tanah kita, iaitu tanah gambut dicapai sepanjang dua hari berseminar.

"Kedua menentukan kaedah terbaik untuk menyelenggara jalan-jalan ini supaya ia sentiasa dalam keadaan baik sepanjang masa," ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya Abang Johari berkata kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan 2TR dan Jalan Pesisir Pantai dengan mengambil kira kepentingannya kepada pertumbuhan sosioekonomi rakyat khususnya di kawasan pedalaman serta pesisir pantai Sarawak.

Menurutnya tahun ini kerajaan negeri memperuntukan RM9 bilion untuk dana pembangunan dan ia adalah daripada jumlah keseluruhan belanjawan 2019 yang berjumlah RM11 bilion.

"Maknanya bermula tahun ini, kita akan memperuntukkan dana bagi membina jalan-jalan penghubung serta jambatan.

"Bagi tujuan ini kita mesti mencari teknologi yang lebih sesuai untuk membina jalan-jalan serta jambatan-jambatan ini dan pada masa sama menyelenggara jalan-jalan ini dengan baik sangat penting," katanya sambil menambah bagi membangunkan lagi  ekonomi Sarawak, jalan penghubung  yang baik sangat penting.

Tambahnya untuk Sarawak maju ke hadapan, kerajaan negeri mesti menyediakan infrastruktur asas termasuk ekonomi digital, internet berkelajuan tinggi dan latihan pendidikan yang sesuai dengan keperluan ekonomi.

"Hari ini kita bercakap mengenai 'Big Data'. Saya melihat ada peralatan kitar semula dan sensor yang digunakan untuk mengkaji keadaan serta struktur tanah, data dikumpul kemudian ia boleh disesuaikan dengan cara untuk membina jalan atau jambatan di atas tanah kita.

"Geosains misalnya, teknologi ini boleh digunakan untuk mengubah permukaan tanah sesuai dengan jenis jalan yang hendak dibina," katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu