Tidak wajar guna isu tanah hasut rakyat


KANOWIT: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan sesetengah pihak supaya tidak mempergunakan tanah sebagai isu politik.

Katanya, ada pihak tertentu suka menggunakan isu tersebut untuk menghasut rakyat seterusnya memburuk-burukkan Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak tidak pernah sekali merampas tanah milik rakyat.

“Malah kerajaan akan terus memperjuangkan dan menyukat tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di bawah inisiatif baharu di Sarawak sebagai mengiktiraf hak rakyat ke atas tanah mereka,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN), Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN dan Cek Pampasan Tanah di Dewan Pejabat Daerah Kanowit di sini, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, ADUN Machan Allan Siden Gramong, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sibu Kiu Chiong Chong serta tetamu jemputan lain.

Beliau berkata, usaha kerajaan itu telah pun dilaksanakan sejak tahun 1960-an lagi melalui program Operasi Penyelesaian dan Program Pengukuran Kampung Tradisional yang telah dilaksanakan sejak awal 2000.

Menurutnya, kerajaan menerusi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) kini berusaha mempercepat pengukuran tanah NCR yang sahih melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.

“Peringkat pertama Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu iaitu pengukuran secara perimeter dan diwartakan di bawah Seksyen 6 KTN telah terbukti lebih efisien berbanding pengukuran cara terdahulu dengan mendahulukan pengukuran lot-lot individu,” kata Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua itu.

Jelasnya, keberkesanan kaedah tersebut terbukti apabila JTS telah berjaya mengukur 880,196 hektar (2.17 juta ekar) tanah NCR di seluruh Sarawak setakat 31 Mac lalu dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.

Berbanding 50 tahun dahulu, ujarnya, iaitu dari 1960 hingga 2010, JTS hanya berjaya mengukur 260,000 hektar (642,460 ekar).

“Pencapaian pengukuran ini melebihi empat kali ganda hasil yang kita buat dalam tempoh 50 tahun.

“Hasilnya kita dapat lihat pada hari ini, kerajaan menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN bagi Kawasan Ulu Sungai Ngemah, Ngemah Tengah dan Ngemah, Kanowit kepada pemilik NCR di kawasan tersebut,” tegasnya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan tanah NCR yang sahih diukur dan dikeluarkan surat hak milik kepada pemilik-pemiliknya.

Bercakap mengenai pengukuran tanah individu, beliau berkata setakat 28 Februari ini, sebanyak 25,944 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 32,167 hektar (79,486 ekar).

“Fokus pada tahun ini ialah untuk mengukur lot-lot individu iaitu susulan daripada 718,522 hektar (1.776 juta ekar) yang telah diwartakan untuk dikeluarkan surat hak milik individu,” tambahnya.

Beliau berkata, ia merupakan tugas berat JTS yang telah diamanahkan untuk memastikan kerja pengukuran ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah dengan menetapkan KPI yang boleh dicapai secara realistik.

“Justeru, Kerajaan Sarawak mahu menambah banyak lagi juruukur dari JTS untuk mempercepatkan proses tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata proses pengambilan balik tanah tidak dapat dielakkan dalam melaksanakan projek bagi kepentingan awam seperti pembinaan jalan, pejabat kerajaan, sekolah dan sebagainya.

“Kerajaan mengambil balik tanah untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih sempurna.

“Pampasan yang dibayar pula adalah adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik dilakukan selaras dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Katanya lagi, setiap pengambilan balik tanah yang dilakukan oleh kerajaan akan diberi pembayaran pampasan.

“Pembayaran pampasan tanah membuktikan kerajaan tidak merampas tanah seperti didakwa oleh pihak tertentu,” tegasnya.

Pada majlis itu, tiga kawasan NCR dengan jumlah keluasan 18,652 hektar di mana tiga kawasan ini adalah terdiri daripada kawasan Ngemah Tengah, Kanowit dengan keluasan 1,321 hektar, Ulu Sungai Ngemah, Kanowit (8,605 hektar) dan Ngemah, Kanowit (10,047 hektar).

Ketiga-tiga kawasan ini adalah kawasan komuniti Iban yang melibatkan 72 orang menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN.

Seramai 33 orang pula telah menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Sungai Lipus, Kanowit dengan kawasan seluas 65.347 hektar.

Sebanyak 61 keping cek pampasan yang berjumlah RM615,189.40 turut diserahkan kepada 51 penerima bagi projek Jalan Nanga Ngungun/Nanga Ngemah, Kanowit yang melibatkan keluasan 19.8 hektar bagi tapak projek jalan tersebut. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas